TEHRAN – Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mengingatkan harga makanan dunia boleh terus meningkat jika konflik di Asia Barat yang mendorong kenaikan harga tenaga berlarutan.
Menurut FAO, harga makanan dunia meningkat pada Mac ke paras tertinggi sejak September tahun lalu.
Ketua Ahli Ekonomi FAO Maximo Torero dalam satu kenyataan, berkata, kenaikan
harga sejak konflik bermula adalah sederhana, didorong terutamanya oleh harga minyak yang lebih tinggi dan dibendung oleh bekalan bijirin global yang mencukupi.
Bagaimanapun, jika konflik itu berlarutan melebihi 40 hari dan kos input kekal tinggi, petani mungkin mengurangkan input, menanam dalam skala lebih kecil, atau beralih kepada tanaman yang memerlukan baja secara kurang intensif.
“Pilihan itu akan menjejaskan hasil pada masa depan serta membentuk bekalan makanan dan harga komoditi bagi baki tahun ini dan sepanjang tahun depan,” kata beliau.
Indeks Harga Makanan FAO, yang mengukur perubahan dalam sekumpulan komoditi makanan yang didagangkan di peringkat global, meningkat 2.4 peratus berbanding paras Februari yang disemak semula.
