Iran tidak mungkin buka Selat Hormuz

WASHINGTON – Iran tidak mungkin membuka Selat Hormuz dalam masa terdekat kerana penguasaannya ke atas laluan minyak paling penting dunia itu satu-satunya kelebihan utama yang dimilikinya terhadap AS.

Laporan risikan terkini Amerika Syarikat (AS) memberi amaran itu dengan tiga sumber yang mengetahui perkara berkenaan.

Dapatan itu menunjukkan Tehran mungkin terus menutup selat berkenaan bagi mengekalkan harga tenaga pada paras tinggi sebagai tekanan terhadap Presiden AS, Donald Trump supaya mencari jalan penyelesaian segera bagi perang yang kini hampir lima minggu dan tidak popular dalam kalangan pengundi AS.

Laporan itu juga memberi petunjuk terkini perang yang bertujuan melemahkan kekuatan ketenteraan Iran sebenarnya mungkin meningkatkan pengaruh serantau Tehran dengan menunjukkan keupayaannya mengancam laluan perairan utama itu.

Trump sebelum ini cuba meremehkan kesukaran untuk membuka semula Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.

Semalam, beliau membayangkan kemungkinan mengarahkan tentera AS untuk membuka semula laluan itu.

“Dengan sedikit lagi masa, kita boleh membuka Selat Hormuz dengan mudah, mengambil minyak dan HORMUZ dengan mudah, mengambil minyak dan menjana kekayaan,” tulisnya di platform Truth Social.

Namun, penganalisis memberi amaran pendekatan kekerasan terhadap Iran yang mengawal sebahagian selat itu boleh memakan kos tinggi dan mengheret AS ke dalam perang darat yang berpanjangan.

Pengarah Projek Iran di International Crisis Group, Ali Vaez, sebuah organisasi pencegahan konflik berkata, Tehran berupaya mempengaruhi pasaran tenaga global melalui cengkaman ke atas selat itu ‘jauh lebih berkuasa berbanding senjata nuklear’.

Related posts

Leave a Comment