PUTRAJAYA 2 April – Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini mengambil pendirian agar setiap pimpinan negeri dapat bertindak selari, bersepadu dan berpaksikan fakta bersama Kerajaan Persekutuan berikutan krisis di Asia Barat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin dalam sebarang keadaan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata, Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri itu menjadi wadah penting untuk meneliti secara menyeluruh perkembangan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
“Dalam kerangka ini, kerajaan menggerakkan perancangan senario yang teliti dan menyeluruh bagi mendepani pelbagai kemungkinan, termasuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di Facebook selepas mengerusikan mesyuarat khas berkenaan hari ini.
Anwar berkata, fokus Kerajaan Madani kekal tegas dan tidak berganjak, memastikan kestabilan bekalan, membendung tekanan kenaikan harga serta melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis ini.
Katanya , setiap langkah dilaksana dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan, dengan keutamaan jelas untuk menjaga kebajikan rakyat melalui inisiatif sokongan yang bersasar dan berkesan.
“Dalam masa sama, libat urus strategik bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus diperkukuh supaya setiap pendekatan bersifat menyeluruh, seimbang dan berimpak tinggi.
“Semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri kekal menjadi teras utama, dan saya yakin Malaysia akan terus teguh, berdaya tahan serta mampu melindungi rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya.
Nnnn
