PUTRAJAYA 2 April – Bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi, di samping kerajaan bersiap sedia dengan pelan kontigensi bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam apa jua keadaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Beliau berkata pelan berkenaan termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat menyebabkan gangguan berpanjangan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dunia ini.
“Kita kini dalam satu fasa yang mencabar dalam landskap ekonomi global. Krisis tenaga global yang sedang berlaku, susulan konflik di Asia Barat telah memberi kesan langsung kepada bekalan dan harga tenaga di seluruh dunia,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa negara berada dalam keadaan terkawal, bersedia serta mengambil langkah proaktif bagi mengurus kesan krisis ini.
“Pada masa sama, kita perlu terus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya situasi ini berlarutan,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan, hari ini.
Beliau berkata gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz, yang menjadi nadi kepada aliran minyak global telah meningkatkan ketidaktentuan pasaran serta menekan harga minyak ke paras yang tinggi.
Menurut Fadillah, kerajaan bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta pemain industri memantau rantaian bekalan setiap hari bagi memastikan kestabilan pasaran terus terpelihara.
Kerajaan juga mengadakan sesi libat urus secara konsisten dengan pemegang taruh daripada pelbagai sektor bagi membolehkan maklum balas diperoleh secara masa nyata, sekali gus mempercepat penyelarasan tindakan untuk memastikan kestabilan bekalan dan pasaran terus terjamin.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius berikutan krisis tenaga global.
Katanya, penjawat awam digalakkan memakai pakaian lebih sesuai dengan iklim tempatan seperti batik, kemeja korporat atau baju Melayu bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyejukan berlebihan.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemat dan sebagai langkah proaktif, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan tenaga di peringkat nasional.
Fadillah berkata kerajaan memahami kebimbangan rakyat terhadap impak krisis itu, justeru pendekatan yang diambil adalah jelas, tersusun serta berfokus kepada keutamaan tertentu.
Nnnn
