10,000 dijangka guna LRT3 Shah Alam

SHAH ALAM 29 Jun – Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dijangka mencatatkan anggaran kira-kira 10,000 penumpang pada hari pertama pelancaran operasinya hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Amir Hamdan berkata, jangkaan itu berdasarkan sambutan menggalakkan orang ramai sejak perkhidmatan itu bermula pada pukul 6 pagi.

Menurut beliau, setakat ini operasi berjalan lancar dengan kekerapan tren ketika waktu puncak dikekalkan sekitar lapan minit tanpa sebarang isu teknikal yang serius.

“Saya melihat dari sudut jangkaan, mungkin boleh mencapai 5,000 hingga 10,000 penumpang untuk hari ini sahaja. Kita akan lihat semula sebab selepas tamat waktu puncak petang nanti apabila ramai akan mencuba laluan ini ketika pulang dari kerja.

Dari segi kekerapan tren, lebih kurang lapan minit ketika waktu puncak. Alhamdulillah, kita lihat keadaan masih terkawal dari semua sudut termasuk fasiliti,” katanya pads sidang media Sesi Tinjauan Media Sempena Hari Pertama Operasi Laluan Shah Alam pada hari ini.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang membabitkan pelaburan sebanyak RM16.63 bilion itu merupakan antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Sebelum ini, Prasarana memaklumkan Laluan Shah Alam turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus, dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

Amir berkata, pihaknya akan terus memantau corak penggunaan penumpang sebelum membuat sebarang penambahbaikan terhadap operasi, termasuk dari segi kekerapan tren.

Menurutnya, peningkatan jumlah penumpang pada hari-hari awal operasi akan dijadikan penanda aras bagi menentukan keperluan menambah kapasiti perkhidmatan.

Mengulas cadangan memperkenalkan koc wanita, Amir berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian dan akan diputuskan berdasarkan hasil kajian serta statistik penggunaan penumpang.

“Buat masa ini belum lagi. Kita perlu mengkaji keperluan tersebut melalui tinjauan dan melihat kepada statistik penggunaan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment