PUTRAJAYA 31 Mac – Seramai 366,435 atau 94.29 peratus calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 layak diberikan sijil, berbanding 355,933 atau 94.01 peratus pada 2024, peningkatan seramai 10,502 orang atau bersamaan 0.28 peratus.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata bagi calon sekolah KPM (Kementerian Pendidikan), seramai 329,272 orang atau 94.51 peratus layak dianugerahkan sijil SPM tahun 2025.
“Jumlah itu meningkat berbanding 319,016 atau 94.20 peratus calon SPM 2024,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.
Mohd Azam berkata, bilangan Calon Berkeperluan Khas (CBPK) yang menduduki peperiksaan SPM 2025 adalah seramai 1,878 orang dan berdasarkan jumlah itu, seramai 1,516 orang atau 80.72 peratus daripadanya layak dianugerahkan sijil SPM.
Angka itu menunjukkan peningkatan seramai 139 orang berbanding 1,377 calon pada SPM 2024.
Kategori calon CBPK membabitkan kurang upaya fizikal (408 calon), kurang upaya pelbagai (58 calon), kurang upaya pendengaran (167 calon) dan kurang upaya penglihatan buta (54 calon).
Kategori lain ialah kurang upaya penglihatan rabun (194 calon), kurang upaya pertuturan (15 calon) dan masalah pembelajaran (620 calon).
Nnnn
