DOHA – Pakistan menjadi negara paling tercemar di dunia pada 2025 apabila mencatatkan kepekatan zarah halus berbahaya dalam udara yang dikenali sebagai PM2.5, mencecah sehingga 13 kali ganda lebih tinggi daripada tahap yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bangladesh dan Tajikistan masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga dalam senarai negara paling tercemar manakala Chad, yang secara statistik adalah negara paling berasap pada 2024, berada di tempat keempat pada 2025.
Zarah PM2.5 dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kelahiran pramatang, manakala pendedahan berpanjangan turut dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit saraf seperti demensia, Parkinson dan Alzheimer.
Menerusi laporan tahunan firma pemantauan kualiti udara dari Switzerland, IQAir, hanya 13 negara dan wilayah berjaya mengekalkan purata paras zarah halus di bawah garis panduan WHO dan ia meningkat berbanding tujuh negara pada 2024.
Data yang diperoleh IQAir itu membabitkan 9,446 bandar di 143 negara, wilayah dan kawasan.
Secara keseluruhan daripada jumlah itu, sebanyak 130 daripada 143 negara dan wilayah yang dipantau gagal memenuhi piawaian WHO.
Piawaian itu merujuk kepada ukuran zarah halus dalam udara berdiameter 2.5 mikron atau lebih kecil. WHO menetapkan tahap kualiti udara sihat pada purata PM2.5 tidak melebihi 5 mikrogram bagi setiap meter padu.
Paras PM2.5 di Pakistan direkodkan pada 67.3 mikrogram bagi setiap meter padu, berbanding 73.7 mikrogram pada 2024.
Bandar Loni di utara India dikenal pasti sebagai bandar paling tercemar di dunia pada 2025 dengan purata paras PM2.5 sebanyak 112.5 mikrogram bagi setiap meter padu diikuti Bandar Hotan di wilayah Xinjiang, barat laut China, dengan paras 109.6 mikrogram.
Laporan itu turut mendapati kesemua 25 bandar paling tercemar di dunia terletak di China, India dan Pakistan.
Secara global, hanya 14 peratus bandar memenuhi piawaian kualiti udara WHO pada 2025, menurun berbanding 17 peratus pada tahun sebelumnya.
Antara 13 negara yang mencapai piawaian itu ialah Australia, Iceland, Estonia dan Panama manakala Laos, Kemboja dan Indonesia pula mencatat penurunan ketara paras PM2.5 berbanding 2024 yang sebahagian besarnya disumbang oleh keadaan cuaca lebih lembap dan berangin akibat fenomena La Nina.
Mongolia turut merekodkan penurunan purata PM2.5 sebanyak 31 peratus kepada 17.8 mikrogram bagi setiap meter padu.
Secara keseluruhan, sebanyak 75 negara mencatatkan penurunan paras PM2.5 pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, manakala 54 negara pula merekodkan peningkatan purata kepekatan zarah berkenaan, menurut IQAir.
