VIENNA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, kira-kira sembilan kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia setiap minit.
Pada 2024, dianggarkan sebanyak 4.9 juta kematian direkodkan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak sedang bertatih bagi kumpulan umur ini di seluruh dunia.
Menurut laporan yang disusun oleh Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) di New York bersama organisasi PBB yang lain, sebahagian besar kematian ini boleh dicegah melalui langkah-langkah kos – berkesan dan akses kepada penjagaan kesihatan.
Berdasarkan laporan itu, jumlah kematian sebelum usia lima tahun telah berkurangan lebih daripada separuh di seluruh dunia sejak tahun 2000, namun kadar kemajuan itu dilihat semakin perlahan secara mendadak sejak 2015.
Kadar kematian kanak-kanak berbeza secara meluas di seluruh dunia, begitu juga dengan akses kepada rawatan perubatan.
Rantau Afrika Sub-Sahara menyumbang 58 peratus daripada keseluruhan kematian kanak-kanak bawah lima tahun, terutama akibat penyakit berjangkit manakala kira-kira 25 peratus daripada semua kes direkodkan di Asia Selatan, dengan kebanyakan bayi meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan.
Risiko bagi bayi baru lahir dan bayi dilaporkan sangat tinggi terutamanya di zon perang dan kawasan krisis.
Dianggarkan sebanyak 2.1 juta kanak-kanak, remaja dan dewasa muda meninggal dunia pada 2024 dan laporan itu juga mendedahkan remaja perempuan berumur antara 15 hingga 19 tahun paling kerap meninggal dunia akibat tingkah laku membunuh diri.
Manakala remaja lelaki dalam lingkungan usia yang sama paling kerap maut dalam kemalangan jalan raya.
