PN terima kemasukan MIC

KOTA BHARU 17 Mac – Perikatan Nasional (PN) sudah meluluskan permohonan kemasukan MIC menerusi mesyuarat Sabtu lalu menjadikan gabungan berkenaan kini dianggotai lima parti selain Pas, Bersatu, Gerakan,

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya akan menyampaikan surat rasmi kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran malam ini berhubung kemasukan parti itu.

“Saya sahkan untuk berjumpa dengan Presiden MIC malam ini untuk menyerahkan surat rasmi bahawa mereka diterima sebagai parti anggota PN.

“Kemasukan MIC sudah diluluskan sejak Disember tahun lalu namun pada mesyuarat PN Sabtu lalu, kita mengesahkan secara rasmi kemasukan parti berkenaan menjadikan lima parti anggota setakat ini,” katanya kepada media selepas Penyampaian Sumbangan Kepada Penggerak di sini, hari ini.

Takiyuddin juga mendedahkan bahawa terdapat lebih lima lagi parti lain yang telah memohon untuk menyertai PN mencerminkan kepemimpinan PN yang kini lebih inklusif, dengan pelantikan jawatan yang kini diagihkan merentasi pelbagai parti.

Katanya, jika sebelum ini yang memegang jawatan adalah Pas dan Bersatu, namun kini menyeluruh malah MIC yang baru menyertai PN pun mungkin akan diberi jawatan.

“Sekarang ini selain terbuka kepada mana-mana parti, kita juga bukak kepada NGO dan ahli bersekutu. Dalam PN ada tiga kategori iaitu parti anggota, ahli bergabung iaitu NGO atau parti yang mesra kepada PN dan ahli bersekutu terdiri daripada individu,” katanya

Related posts

Leave a Comment