KUALA LUMPUR 17 Mac – MIC belum membuat sebarang permohonan rasmi untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden, M Saravanan.
Beliau turut menjelaskan bahawa MIC masih belum memutuskan sama ada akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) atau kekal bersama gabungan itu.
“Kami tidak membuat sebarang permohonan rasmi untuk menyertai PN. Sama ada kekal dalam BN atau menyertai mana-mana parti lain — keputusan itu masih belum dibuat,” katanya kepada New Straits Times.
Saravanan berkata, keputusan sedemikian terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
“Saya tidak tahu dari mana mereka mendapat perkara ini,” tambahnya, sambil menyifatkan dakwaan bahawa MIC telah menyertai PN sebagai satu “spekulasi.”
Menurut Saravanan, sebelum Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) mereka tahun lepas, parti itu sekadar membuat pertanyaan mengenai kedudukan mereka dalam iklim politik Malaysia.
Tahun lepas, perwakilan MIC meluluskan resolusi untuk meninggalkan BN dan menyertai PN semasa AGM parti tersebut.
Bagaimanapun, keputusan muktamad masih belum dibuat.
Sebelum itu, di Kota Bharu, Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata permohonan kemasukan MIC ke dalam gabungan itu sudah diluluskan menerusi mesyuarat Sabtu lalu menjadikan gabungan berkenaan kini dianggotai lima parti.
Takiyuddin berkata, pihaknya akan menyampaikan surat rasmi kepada Presiden MIC, S A Vigneswaran malam ini berhubung kemasukan parti itu.
“Saya sahkan untuk berjumpa dengan Presiden MIC malam ini untuk menyerahkan surat rasmi bahawa mereka diterima sebagai parti anggota PN.
“Kemasukan MIC sudah diluluskan sejak Disember tahun lalu namun pada mesyuarat PN Sabtu lalu, kita mengesahkan secara rasmi kemasukan parti berkenaan menjadikan lima parti anggota setakat ini,” katanya.
