Cukup menjadi anak kapal biasa – KJ

SEPANG 16 Mac  – “Cukuplah untuk saya diberi peluang menjadi seorang anak kapal biasa,” demikian luahan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin selepas mengemukakan surat rayuan bagi menyertai semula UMNO semalam.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan.

“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.

Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Semalam Khairy menyerahkan surat rayuan secara rasmi kepada Presiden UMNO , Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon agar pemecatan keahliannya dibatalkan dan nombor keahlian asal diaktifkan semula.

“Saya harap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat saya dengan sewajarnya,” sambil menghargai keterbukaan dan kebesaran hati Zahid membuka ruang untuk melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti.

Dalam kenyataan itu Khairy bersyukur dengan kesempatan yang diberikan untuk kembali meneruskan khidmat bakti dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menerima kunjungan saya atas semangat Rumah Bangsa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dengan jiwa besar, beliau menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali,” katanya.

Menurut Khairy ketika politik tanah air berdepan dengan ketidaktentuan dan lautan bergelora, adalah sangat penting bahtera perjuangan bangsa – UMNO – yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan.

“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah. Insya’Allah, I’m coming home,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment