Hishmmuddin sambut pelawaan Rumah Bangsa

SEPANG – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedia untuk kembali berjuang bersama UMNO jika penggantungan keahliannya selama enam tahun ditarik balik oleh parti itu.

Ahli Parlimen Sembrong itu yang sudah menjalani ‘hukuman’ selama tiga tahun berkata, selama ini beliau tidak pernah keluar parti dan untuk bersama UMNO bukanlah keputusan sukar baginya.

“Jadi hari ini apabila pimpinan telah membuat pendirian, saya rasa penting beritahu kepada warga Sembrong dan pimpinan UMNO Sembrong terlebih dahulu bahawa tak timbul masalah langsung bagi saya untuk terima apa yang dinyatakan presiden parti.

“Yang penting saya tidak pernah lari (dari UMNO),” katanya dalam muat naik video di Facebooknya.

Pada 6 Mac lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin secara terbuka mengumumkan mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.

Dalam pada itu Hishammuddin berterima kasih kepada Presiden UMNO, yang membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannnya untuk bersama-sama kembali menyertai UMNO.

Kalau betul mereka ikhlas dan tarik balik penggantungan, saya akan kembali berjuang dalam UMNO, rapatkan barisan kita dalam UMNO Sembrong, UMNO Johor untuk perkasa dan perkukuhkan parti keramat UMNO,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment