Pulau Pinang teruskan Rumah Terbuka

TANJONG 12 Mac – Rumah Terbuka Aidilfitri di negeri ini akan terus diadakan secara sederhana walaupun terdapat saranan kerajaan pusat untuk tidak menganjurkan majlis sedemikian bagi agensi kerajaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata setakat ini kerajaan negeri belum menerima sebarang pekeliling rasmi daripada Ketua Setiausaha Negara mengenai saranan itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan tiada penganjuran rumah terbuka bagi agensi kerajaan sebagai langkah penjimatan bagi mendepani kesan konflik di Asia Barat.

Kon Yeow berkata, majlis rumah terbuka ini adalah satu tradisi untuk menyantuni rakyat dan selama inipun ia dilaksanakan secara sederhana, bukan mewah.

“Secara peribadi, saya rasa kerana masa pun begitu dekat, majlis pun sudah diaturkan dan surat jemputan pun sudah dikeluarkan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pun belum sempat bincang isu ini secara rasmi.

Namun, majlis yang dianjurkan bersama oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dengan Kerajaan Negeri adalah satu tradisi untuk menyantuni rakyat dan selama inipun ia dilaksanakan secara sederhana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas sambutan di peringkat jabatan dan agensi negeri, Kon Yeow menasihatkan penganjuran dibuat secara dalaman atau berkonsepkan ‘potluck’ bagi menjimatkan kos.

Beliau turut menekankan kepentingan platform seperti rumah terbuka dalam mengukuhkan perpaduan kaum, terutamanya ketika berdepan dengan cubaan pihak ekstremis yang mahu memecah-belahkan masyarakat.

“Platform ini penting untuk membawa rakyat bersama-sama memupuk semangat perpaduan. Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, majlis kecil-kecilan ini berfungsi sebagai ruang untuk rakyat berkumpul dan meraikan kebersamaan,” katanya.

Nnn

 

Related posts

Leave a Comment