Pas gesa urus segera ketegangan, pertikaian

SEPANG 11 Mac – Pas menggesa pihak berkuasa memainkan peranan dengan segera dalam mengurus ketegangan atau pertikaian melibatkan beberapa pertubuhan dan individu beragama Hindu dengan sosok tertentu dalam kalangan masyarakat, terutamanya yang beragama Islam sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan tepat, penguatkuasaan undang-undang yang adil, tidak memihak serta komunikasi krisis yang jelas daripada pihak berwajib sangat perlu bagi mengelakkan salah faham, spekulasi dan prasangka atau peningkatan ketegangan yang tidak perlu.

“Pas menegaskan isu-isu berkait agama dan identiti kaum hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan, sikap tenang dan kepekaan mendalam terhadap sifat asasi masyarakat majmuk dan pelbagai,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Pas memandang serius ketegangan dan pertelingkahan terbuka yang berlaku.

“Pas akur bahawa sensitiviti berkait agama, sejarah dan tempat ibadat amat dekat dengan semua komuniti dan kumpulan masyarakat yang hendaklah ditangani secara berhemah dan matang, tanpa provokasi atau sikap melampau mana-mana pihak.

“Percubaan untuk membingkaikannya dengan cara-cara yang menyuburkan syak wasangka, kebencian dan permusuhan antara komuniti atau kumpulan adalah sangat tidak bertanggungjawab dan mesti ditolak semua pihak,” katanya.

Justeru Pas,menggesa semua pihak – pemimpin, pertubuhan dan platform media – agar sentiasa bertindak dengan lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengulas atau melaporkan isu-isu yang berkaitan..

Katanya dalam situasi sekarang, Malaysia sangat memerlukan suara yang mententeramkan keadaan, bukan yang memarakkan ketegangan.

“Pas akan terus komited kepada usaha dan matlamat memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat kita yang pelbagai latar belakang kepercayaan dan budaya, selain
kekal menjunjung hak dan kehormatan semua seperti yang dijamin undang-undang
Perlembagaan negara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment