DAP masih dapat undi Melayu – Kit Siang

KUALA LUMPUR 16 Ogos – DAP tidak akan mendapat satu pun undi Melayu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu sekiranya parti itu anti-Melayu, anti-Islam, anti-raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur atau dilabel sebagai komunis.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, DAP sebaliknya masih berjaya mendapatkan sejumlah besar undi Melayu di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang pada PRN Sabtu lalu.

“Kita dapat melihat tiga pemimpin DAP beraksi mencatatkan kemenangan di Selangor — Ng Suee Lin di Sekinchan, Lee Kee Hiong di Kuala Kubu Baharu, dan Lwi Kian Keong di Sungai Pelek,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang berkata keputusan PRN itu merupakan satu penolakan terhadap mereka yang cuba mengatakan bahawa usaha mempromosikan idea Malaysia sebagai sebuah negara majmuk bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya , mereka yang berkempen untuk sebuah Malaysia yang hanya ada satu kaum, satu agama, dan satu budaya ini telah menolak usaha tokoh-tokoh kemerdekaan negara.

“Terdapat situasi luar biasa di Malaysia, di mana tidak ada kebencian antara kaum atau agama, namun dalam pilihan raya umum, ada parti politik yang bergantung kepada penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian untuk mewujudkan gambaran seakan-akan orang Melayu dan Islam sedang diancam,” katanya.

“Mereka yang paling rugi dalam PRN ini adalah pihak yang percaya bahawa negara kita sudah mencapai satu tahap polarisasi di antara kaum dan agama, di mana terdapat perbezaan terlalu besar yang tidak dapat diperbetulkan lagi,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kemajuan yang dicatatkan oleh Perikatan Nasional (PN) di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, tetapi ia bukanlah satu tsunami PN.

“Orang yang perlu risau adalah mereka yang menjangkakan PN akan menang besar sekurang-kurangnya 5-1 jika bukan 6-0 dalam pilihan raya negeri ini.

Keputusan enam pilihan raya negeri ini mungkin menjadi paras sokongan tertinggi yang berjaya diraih oleh PN dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-16 dalam masa empat tahun lagi pada tahun 2027 mungkin berbeza sama sekali.

“Mereka yang paling rugi dalam PRN ini adalah pihak yang percaya bahawa negara kita sudah mencapai satu tahap polarisasi di antara kaum dan agama, di mana terdapat perbezaan terlalu besar yang tidak dapat diperbetulkan lagi,” katanya.

Kit Siang berkata apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah menyenarai dan melaksanakan visi Madani yang bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia, baik orang Melayu mahupun bukan Melayu.

Katanya, usaha itu perlu bagi memastikan Malaysia bangkit semula dan menghentikan kemerosotan dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka.

Related posts

Leave a Comment