DUBAI – Walaupun Presiden Iran sebelum ini memohon maaf kepada negara Teluk yang dijadikan sasaran serangan terdahulu, beberapa negara Teluk mendakwa terus dibedil peluru berpandu dan dron ketika perang memasuki minggu kedua.
Arab Saudi, Qatar dan Kuwait mendakwa serangan baharu berlaku selepas letupan kuat kedengaran di Dubai dan Manama, Bahrain, semalam.
Syarikat minyak nasional Kuwait mengumumkan pengurangan langkah berjaga-jaga terhadap pengeluaran minyak mentah, manakala tentera negara itu berkata, pihaknya bertindak balas terhadap gelombang dron musuh yang menceroboh ruang udara negara.
Tentera Kuwait memaklumkan tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait menjadi sasaran serangan dron dan menyifatkan serangan berkenaan sebagai serangan langsung terhadap infrastruktur penting.
Dalam kenyataan berasingan, pihak berkuasa berkata beberapa kemudahan awam mengalami kerosakan akibat serpihan daripada operasi pemintasan serangan.
Kementerian Pertahanan Qatar pula berkata, negara itu disasarkan dengan 10 peluru berpandu balistik dan dua peluru berpandu kruis yang dilancarkan dari Iran, namun kebanyakannya berjaya dipintas tanpa mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Kementerian Pertahanan Arab Saudi turut melaporkan pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan 15 dron yang memasuki ruang udara negara itu, termasuk cubaan serangan di kawasan diplomatik di Riyadh.
Serangan itu berlaku walaupun Presiden Iran sebelum ini memohon maaf kepada negara Teluk susulan serangan terdahulu dan menyatakan mereka tidak lagi akan menjadi sasaran kecuali jika serangan dilancarkan dari wilayah mereka.
Beberapa jam kemudian, Ketua Kehakiman Iran menegaskan serangan akan diteruskan terhadap lokasi di negara Teluk yang digunakan oleh pihak musuh.
Presiden Emiriyah Arab Bersatu, Mohammed bin Zayed Al Nahyan, berkata negara itu kini berada dalam tempoh perang dan akan muncul lebih kuat selepas krisis berkenaan.
Nnnn
