WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan ia tidak memerlukan bantuan Britain, yang menawarkan dua kapal pengangkut pesawat ke Asia Barat, untuk menang dalam peperangan dengan Iran.
Bagaimanapun dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata beliau akan ingat kekurangan sokongan Britain semasa konflik dengan Iran.
Sebelum ini, Trump beberapa kali mengkritik Keir Starmer, kerana sikap berkecualinya dalam perang di Iran dan menuduh Perdana Menteri Britain itu merosakkan’ hubungan rapat sejarah antara kedua-dua negara selepas London menolak permintaan AS bagi menggunakan pangkalan Britain untuk menyerang Iran.
“United Kingdom (UK), bekas sekutu besar kita, mungkin yang terbesar antara semua, akhirnya memberi pertimbangan serius untuk menghantar dua kapal pengangkut pesawat ke Asia Barat.
“Tidak mengapa, Perdana Menteri Starmer, kami tidak memerlukannya lagi… tetapi kami akan ingat. Kami tidak perlukan orang yang menyertai perang selepas kami sudah menang,” katanya.
Hantaran media sosial itu dibuat selepas Kementerian Pertahanan Britain memaklumkan mereka sedang menyiapkan kapal pengangkut pesawat Prince of Wales untuk kemungkinan penempatan.
Bagaimanapun, seorang pegawai Britain berkata tiada keputusan muktamad dibuat sama ada kapal pengangkut pesawat itu akan dihantar ke Asia Barat.
Dalam pada itu, Starmer kekal mempertahankan keputusannya untuk tidak membenarkan pasukan AS menggunakan pangkalan Britain bagi menyokong serangan awal ke atas Iran.
Menurutnya, beliau perlu yakin bahawa sebarang tindakan ketenteraan adalah sah dari segi undang-undang dan dirancang dengan teliti.
Beliau kemudian membenarkan pasukan AS menggunakan pangkalan Britain bagi menjalankan serangan bertujuan mempertahankan diri terhadap peluru berpandu Iran yang disimpan di depot atau pelancar.
Nnnnn
