RUANG udara di rantau Teluk, ditutup besar-besaran, menjejaskan trafik penerbangan global melalui beberapa hab transit paling sibuk di dunia, susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran mulai 28 Februari lalu.
Sekatan ruang udara semasa menjejaskan peranan Dubai, Abu Dhabi dan Doha sebagai pusat transit utama yang menghubungkan Eropah dan benua Amerika dengan Asia, Afrika serta Oceania.
Ia mencetuskan kesan berantai terhadap rangkaian penerbangan jarak jauh global selain meningkatkan kos operasi dan insurans syarikat penerbangan.
Menurut Flightradar24, ruang udara di Iran, Iraq, Israel, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Syria sebahagian besarnya ditutup setakat Isnin, manakala sebahagian ruang udara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi dibuka secara terhad.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengisytiharkan risiko tinggi kepada penerbangan awam di seluruh rantau itu.
Gangguan menyebabkan ribuan penerbangan dibatalkan. Firma analisis penerbangan Cirium melaporkan lebih 2,000 penerbangan ke Asia Barat dibatalkan pada 1 Mac sahaja, kira-kira separuh daripada operasi berjadual hari berkenaan.
Data FlightAware menunjukkan hampir 2,800 pembatalan pada Sabtu dan lebih 3,400 penerbangan dibatalkan di tujuh lapangan terbang utama rantau itu pada Ahad.
Portal industri FlightGlobal menyifatkan penutupan hab utama Teluk, termasuk Lapangan Antarabangsa Dubai iaitu lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa, sebagai kejutan penerbangan paling teruk sejak pandemik Covid-19.
Lapangan terbang itu mengendalikan 92.3 juta penumpang pada 2024.
Emirates dan Etihad kini hanya mengendalikan beberapa penerbangan khas seperti penghantaran pulang, manakala penerbangan Qatar Airways ke dan dari Doha digantung sementara sehingga pihak berkuasa penerbangan Qatar mengesahkan pembukaan semula yang selamat.
Kesan gangguan turut melangkaui rantau Teluk apabila syarikat penerbangan Asia dan Eropah menangguhkan atau mengubah laluan penerbangan bagi mengelakkan ruang udara yang ditutup.
