SEPANG 14 April – – Putra menggesa Kerajaan mempertimbangkan secara serius penggubalan Akta Pengurangan Inflasi Malaysia yang komprehensif, berpandukan model antarabangsa seperti ‘Inflation Reduction Act’ yang mampu menggabungkan dasar fiskal, perindustrian dan peralihan tenaga dalam satu kerangka strategik.
Presiden Putra, Dr Ibrahim Ali yang membuat gesaan itu berkata, usaha menangani inflasi tidak boleh terus bergantung kepada langkah sementara seperti kawalan harga bermusim atau subsidi bersasar yang tidak konsisten.
Katanya, ketika rakyat Malaysia terus berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, pendekatan Kerajaan setakat ini dilihat bersifat jangka pendek, tidak bersepadu dan gagal menangani punca sebenar inflasi secara struktural.
“Negara memerlukan satu akta yang menyusun semula insentif ekonomi secara strategik bagi mengurangkan kos pengeluaran dan rantaian bekalan; Memacu pelaburan dalam tenaga bersih dan teknologi baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dan turun naik harga global.
Mengukuhkan penguatkuasaan terhadap pencatutan melalui penambahbaikan kepada Price Control and Anti-Profiteering Act 2011; dan Menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan subsidi serta perbelanjaan awam.,” katanya dalam satu kenyataan.
Ibrahim menegaskan pelaksanaan akta ini perlu diterajui oleh Kementerian Kewangan sebagai peneraju dasar fiskal, dengan penglibatan rapat beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memastikan pendekatan yang benar-benar menyeluruh dan berkesan.
“Kegagalan untuk bertindak secara berani dan berstruktur hanya akan menyebabkan rakyat terus menanggung beban, manakala negara ketinggalan dalam merebut peluang ekonomi baharu, khususnya dalam sektor tenaga bersih yang kini dipacu secara agresif oleh ekonomi utama dunia.
Ini bukan lagi soal pilihan dasar, tetapi keperluan mendesak untuk melindungi rakyat dan memastikan masa depan ekonomi negara lebih stabil dan mampan,” katanya.
Putra juga menurut Ibrahim bersedia bekerjasama secara bipartisan demi kepentingan rakyat, namun Kerajaan perlu menunjukkan iltizam politik yang jelas untuk membawa perubahan sebenar demi menangani kos sara hidup rakyat.
“Hentikan retorik kelirukan rakyat dan memeraskan poket rakyat dengan menaikkan harga diesel dan petrol secara melampau,” katanya sambil mendakwa kerajaan Madani mengambil peluang buat duit dari saku rakyat serta boros berbelanja dengan hutang negara sudah mencecah hampir RM1.5 trillion.
Nnnn
