TENTERA Israel dilaporkan melintasi kawasan sempadan selatan Lubnan yang disifatkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNIFIL) sebagai ‘pelanggaran’ terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
Menurut UNIFIL, pasukan pengaman tentera Israel melintasi kawasan Lubnan berhampiran Markaba, Al Adeisse, Kfar Kela dan Ramyah sebelum kembali ke selatan Garisan Biru.
Misi pengaman itu berkata sejak konflik terbaharu pada 2024, tentera Israel mengekalkan lima kedudukan dan dua zon penampan di dalam wilayah Lubnan, yang melanggar Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
UNIFIL turut merekodkan beberapa serangan udara Israel, ratusan kes tembakan merentasi Garisan Biru iaitu sempadan de facto serta 84 pelanggaran ruang udara dalam tempoh dua hari lalu.
Pada masa sama, puluhan roket dan peluru dilancarkan oleh Hizbullah ke arah Israel.
Resolusi 1701 yang diterima pakai pada Ogos 2006 menggesa permusuhan antara Israel dan Hizbullah dihentikan serta penubuhan zon bebas senjata antara Garisan Biru yang ditandakan PBB dan Sungai Litani, kecuali bagi tentera Lubnan dan UNIFIL.
Kenyataan itu menyusul selepas tentera Israel mengumumkan pada Selasa yang ia melancarkan operasi darat ke selatan Lubnan bagi mewujudkan ‘zon keselamatan’ dan menempatkan pasukan di ‘lokasi strategik’, dengan alasan melindungi penempatan Israel daripada kemungkinan serangan dari dalam Lubnan.
Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh dan lebih 150 lagi cedera dalam serangan udara Israel di seluruh Lubnan sejak Isnin.
Ketegangan serantau meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan berskala besar terhadap Iran pada Sabtu, yang dilaporkan mengorbankan hampir 800 orang termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset Amerika Syarikat.
