PBB gesa AS, Iran terus runding

NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran diteruskan, kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Katanya, walaupun tiada persetujuan dicapai dalam rundingan dihoskan Pakistan di Islamabad, perbincangan itu sendiri menunjukkan kesungguhan kedua-dua pihak dan merupakan langkah positif serta bermakna ke arah memperbaharui dialog.

“Memandangkan perbezaan yang ketara, perjanjian tidak dapat dicapai dalam tempoh singkat dan setiausaha agung menggesa rundingan itu diteruskan supaya persetujuan dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata, selepas berminggu-minggu kemusnahan dan penderitaan, jelas bahawa tiada penyelesaian ketenteraan bagi konflik semasa, dan pada masa sama, gencatan senjata mesti dipelihara sepenuhnya dan semua pelanggaran dihentikan.

Setiausaha agung itu turut menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik ini mesti menghormati kebebasan pelayaran termasuk di Selat Hormuz, selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Gangguan terhadap perdagangan maritim melalui Selat Hormuz telah memberi kesan langsung melangkaui rantau itu, dengan peningkatan kerapuhan ekonomi global serta ketidaktentuan dalam banyak sektor,” kata jurucakap itu.

Manakala gangguan terhadap bekalan baja dan inputnya pula memburukkan lagi ketidakjaminan makanan bagi jutaan penduduk rentan di seluruh dunia, selain kos sara hidup yang semakin meningkat ekoran kesan terhadap bahan api, pengangkutan dan gangguan rantaian bekalan.

Sementara itu di WASHINGTON, Naib Presiden AS, JD Vance, memaklumkan sebarang tindakan dalam rundingan kini bergantung kepada Tehran.

Vance yang mengetuai delegasi AS bertemu pegawai Iran di Pakistan pada hujung minggu lalu, berkata Washington telah menetapkan garis merahnya dengan jelas dalam rundingan bersama Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat.

Bagaimanapun ia berakhir tanpa sebarang perjanjian bagi menamatkan serangan AS-Israel yang berlarutan lebih lima minggu terhadap republik Islam itu.

“Bagi saya, bola kini berada di gelanggang Iran kerana kami telah meletakkan banyak perkara di atas meja. Kami juga sudah menjelaskan dengan sangat jelas berkenaan garis merah kami,” katanya dalam temu bual bersama Fox News.

Beliau berkata terdapat dua perkara yang ditegaskan Presiden Donald Trump, sebagai tidak boleh dirunding iaitu kawalan AS terhadap uranium diperkaya Iran dan mekanisme pengesahan bagi memastikan negara itu tidak membangunkan senjata nuklear pada masa depan.

“Ia satu perkara bagi Iran untuk mengatakan mereka tidak akan memiliki senjata nuklear. Tetapi ia perkara lain untuk kami mewujudkan mekanisme bagi memastikan ia tidak berlaku,” katanya.

Di TEHRAN, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif berkata kemajuan positif sedang dicapai dalam rundingan antara Iran dan AS dan kemungkinan untuk mengadakan rundingan lanjut masih wujud.

Bercakap kepada media, Khawaja Asif berkata, pusingan baharu rundingan antara Iran dan AS dijangka bermula tidak lama lagi.

Beliau berkata, selepas hubungan dan perbincangan yang berlangsung baru-baru ini, kepuasan secara keseluruhan dinyatakan dan setakat ini tiada sebarang perkembangan negatif timbul.

Menteri Pertahanan Pakistan itu berkata, hanya berita positif diterima berhubung rundingan itu, yang dialu-alukan demi kestabilan di rantau berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment