KUALA LUMPUR 3 Mac – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) memperuntukkan hampir RM1 juta untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan perjalanan jemaah umrah kendaliannya berjalan lancar ketika krisis di Timur Tengah.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Ida Riswana Idris, berkata, pihaknya mengambil langkah menyusun semula penerbangan pergi dan balik jemaah menerusi penerbangan yang masih beroperasi khususnya Saudi Airlines.
Katanya setakat ini, Andalusia menyesuaikan semula penerbangan menerusi Saudi Airlines pada hari yang dijadualkan jemaah berangkat selepas Amal by Malaysia Airlines membatalkan penerbangan atas faktor keselamatan.
Bercakap pada sidang media menerusi Facebook, beliau menjelaskan penangguhan penerbangan oleh Amal menyebabkan 283 jemaah yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutifnya Md Daud Che Ngah masih berada di Makkah.
“Andalusia memberi jaminan kumpulan jemaah itu yang sepatutnya pulang pada 1 Mac lalu akan diterbangkan selewat-lewatnya 6 Mac ini,” katanya sambil menjelaskan tidak ada jemaah Andalusia yang terkandas di Jeddah.
Kumpulan jemaah yang diketuai Md Daud itu menyertai pakej Ramadan selama 13 hari 11 malam iaitu dimulai empat hari di Madinah dengan harga bermula dari RM9,690 (bilik berempat); RM10,490 (bertiga) dan RM12,390 (berdua).
Menurut Ida Riswana, kumpulan jemaah Andalusia berkenaan akan terus kekal di penginapan mereka semasa tiba di Makkah sehingga penerbangan pulang yang dijangka diteruskan semula Amal mulai 5 Mac.
Difahamkan kira-kira 2,000 jemaah Malaysia menunggu penerbangan pulang selepas penangguhan akibat krisis di rantau itu.
Ida Riswana berkata, Andalusia akan terus memantau perkembangan semasa dengan pihak berkuasa bagi memastikan penerbangan jemaah umrah tidak terjejas dengan keutamaan kepada soal keselamatan.
Beliau juga memberitahu, kumpulan 80 jemaah Andalusia yang dijadualkan semula penerbangan selepas pembatalan penerbangan Amal pada 1 Mac berlepas ke Jeddah menggunakan Saudi Airlines pada 2 Mac pukul 2.15 pagi.
“Mereka selamat tiba di Jeddah seterusnya dapat menunaikan ibadah umrah pertama mereka,” katanya.
Bagi jemaah yang sudah membuat tempahan boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai-pegawai Andalusia di ibu pejabat atau cawangan berhampiran untuk mengetahui status penerbangan mereka.
Sementara itu, Md Daud berharap keluarga jemaah berkenaan tidak perlu bimbang dengan keselamatan dan kebajikan jemaah yang tidak dapat pulang seperti dijadualkan.
“Jemaah kita tidak terkandas tetapi penerbangan ditangguhkan disebabkan situasi semasa dan jemaah kita dalam keadaan baik dan tenang dengan penginapan serta makan minum mereka terjaga,” katanya.
Md Daud yang berpengalaman luas dalam pengendalian jemaah umrah dan haji berkata, apa yang berlaku juga ada hikmahnya kerana jemaah dapat meneruskan ibadah dan ziarah tambahan pada bukan Ramadan.
Bagaimanapun katanya, ada juga beberapa jemaah yang terpaksa pulang awal disebabkan masalah cuti dan urusan lain.
Nnnn.
