Tubuh jawatankuasa siasat perjanjian RM1.1 bilion

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Kerajaan digesa menubuhkan jawatankuasa khas siasatan bertaraf suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat perjanjian mega antara Kerajaan Pusat dan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, berkata jawatankuasa itu perlu diketuai seorang bekas hakim mahkamah atasan bagi memastikan siasatan dilakukan secara telus dan tegas.

Langkah berkenaan, katanya penting memandangkan angka RM1.1 bilion itu membabitkan dana awam yang besar, selain menyentuh isu integriti sistem pentadbiran kerajaan.

“Langkah tegas dan segera amat perlu diambil jika kerajaan benar-benar serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah laku hingga ke akar umbi.

Kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur dan retorik semata-mata. Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan fakta sebenar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 billion.

Ia susulan aduan dibuat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perjanjian dikatakan dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kepada Kerajaan.

Berdasarkan aduan dan dokumen diserahkan, SPRM juga mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian ini pada 13 Februari lalu daripada Kementerian Ekonomi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata berdasarkan maklumat daripada beberapa NGO, seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa didakwa turut terbabit dalam perjanjian itu.

Malah, katanya beberapa NGO juga mendakwa perjanjian berkenaan turut membabitkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa.

Justeru, beliau memberi amaran sekiranya pihak kerajaan gagal untuk bertindak secara telus, ia hanya akan menguatkan lagi persepsi negatif rakyat.

“Angka RM1.1 bilion bukan kecil, selain merupakan dana awam dan melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap integriti sistem pentadbiran kerajaan.

“Kegagalan bertindak tegas dan telus hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu atau seseorang,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment