“Saya mahu terus membantu jemaah”

SELASA lalu, 17 Februari 2026 Md Daud Che Ngah, pembimbing haji dan umrah yang tidak asing lagi menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 80 tahun. Dan selama lima dekad, beliau terlibat dalam urusan berkaitan haji dan umrah.

Semalam, 18 Februari, Ustaz Daud Che Ngah yang juga Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, (Andalusia) itu masih gagah untuk mengetuai rombongan 284 jemaah umrah Ramadan ke Tanah Suci.

Beliau yang akan dibantu mutawif berlepas ke Madinah pada pukul 10 pagi semalam bersama Malaysia Airlines sebelum ke Makkah untuk umrah.

Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, Ustaz Daud ceria melayani jemaah dan keluarga mereka sebelum turun ke kaunter imigresen untuk pelepasan.

Ustaz Daud akan bersama jemaah umrah Andalusia selama 13 hari iaitu empat hari di Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah untuk tempoh lapan hari lagi bagi menyempurnakan ibadah umrah.

“Saya mahu terus membantu jemaah agar mereka dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna,” kata Ustaz Daud yang sudah 50 tahun terlibat dalam urusan haji dan umrah sejak tahun 1974.

Dalam tempoh itu, beliau menguruskan jemaah haji sebanyak 43 kali dan boleh dikatakan setiap tahun ke Makkah pada bulan Ramadan kecuali beberapa tahun termasuk selepas bersara daripada TH dan ketika Covid-19.

Katanya, selepas bersara, beliau rehat seketika, tidak ke Makkah kerana ingin merasai sambutan hari raya haji bersama keluarga dan membuat korban untuk anak cucu di tanah air.

Selama 25 tahun bersama Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Ustaz Daud walaupun kini sebagai antara tiga tonggak utama Andalusia masih aktif bukan sekadar pembimbing tetapi turun di lapangan bersama jemaah.

Bagi jemaah umrah sama ada yang memilih pakej Andalusia atau sebaliknya, mereka berpeluang mengikuti bimbingan umrah di oditorium Andalusia. Begitu juga bimbingan untuk melahirkan mutawif.

Mengenai kesihatannya yang masih baik walaupun menjangkau usia 80 tahun, beliau mengakui ramai yang bertanya mengenai rahsia usianya yang kelihatan ‘kuat dan gagah’.

Tegasnya,  kekuatan dan kesihatan yang dinikmati sehingga kini adalah hasil doa yang tidak putus agar dipanjangkan usia dalam keadaan sihat bagi membolehkan beliau terus berkhidmat kepada jemaah.

“Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesihatan dan keselamatan sekiranya dipanjangkan usia untuk terus memimpin jemaah.

“Saya kata terpulang kepada Allah, dia bagi kesihatan yang baik, bagi mood untuk membantu orang….taklah makan ubat, bersukan tetapi di rumah ada aktiviti keluar peluh seperti bersih kawasan rumah , buang rumput, pokok,” katanya.

Bagi mengisi masa lapang,  beliau juga membuat tongkat untuk dihadiahkan kepada mereka yang membeli buku mengenai dirinya.

Untuk pakej bersama ikon Andalusia kali ini, Md Daud menjelaskan, pihaknya telah merangka jadual khusus bagi memastikan jemaah dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beribadah pada Ramadan.

Katanya , para jemaah akan dibawa menunaikan umrah sekurang kurangnya tiga kali pada waktu siang bagi memberi ruang kepada mereka menumpukan ibadah solat Tarawih pada waktu malam yang hanya dilaksanakan pada bulan Ramadan.

“Pelaksanaan umrah pada siang hari juga bertujuan membolehkan mereka merebut ganjaran pahala umrah pada Ramadan yang menyamai pahala haji walaupun terpaksa berdepan keadaan berpuasa dan keletihan.

“Walaupun tenaga agak terhad pada waktu siang, jemaah tetap sabar dan cekal demi meraih keberkatan serta meningkatkan ketakwaan,” katanya.

Untuk rekod, dua lagi tonggak utama yang menggerakkan kejayaan Andalusia adalah Pengarah Urusan Ibrahim Mat Sin serta Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Ida Riswana Idris, kedua-duanya juga jemaah umrah bimbingan Ustaz Daud pada 2001.

Mereka bersama-sama melakar kejayaan Andaluusia, terbaharu, syarikat mengungguli dua Anugerah Jenama Tahunan BrandLaureate 2024 anjuran The World Brands Foundation.

Bermula dengan sebuah pejabat kecil di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota yang juga menumpang firma guaman, Andalusia kemudian berpindah ke Kampung Pandan, Taman Maluri dan kini operasi syarikat itu telah bertapak di bangunan tiga tingkat di Desa Pandan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment