DHAKA – Bangladesh memohon bantuan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) bagi menyiasat pembunuhan Sharif Osman Hadi, tokoh popular dalam gerakan kebangkitan anak muda negara itu pada 2024.
Menurut kenyataan kerajaan, misi Bangladesh di Geneva dilaporkan telah mengemukakan nota diplomatik bagi meminta OHCHR membantu memastikan siasatan dijalankan secara “adil, tidak berpihak dan pantas”.
“Nota tersebut memohon bantuan teknikal dan institusi daripada pejabat hak asasi manusia PBB bagi menyokong siasatan berkenaan,” kata kenyataan itu.
Sharif Osman, 32, ditembak oleh kumpulan bertopeng di Dhaka pada Disember lalu sebelum meninggal dunia akibat kecederaan di sebuah hospital di Singapura.
Kematian beliau mencetuskan gelombang protes ganas di seluruh negara.
Sharif Osman difahamkan merancang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya yang akan diadakan Khamis ini – pilihan raya pertama sejak bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina digulingkan pada Julai 2024.
Sharif Osman dikenali sebagai pengkritik lantang terhadap India, negara di mana Hasina kini mendapatkan perlindungan selepas melarikan diri dari Dhaka susulan penggulingan kerajaan pimpinannya.
Penyokong Sharif Osman menganggap beliau sebagai syahid serta simbol gerakan anak muda anti-establishment yang kini membentuk semula landskap politik Bangladesh yang tidak menentu.
