HONG KONG – Taikun media Hong Kong, Jimmy Lai, pengasas Apple Daily dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dalam kes keselamatan negara paling berprofil tinggi di wilayah itu.
Beliau sebelum ini disabitkan dua pertuduhan berkomplot dengan kuasa asing pada 15 Disember lalu serta satu pertuduhan menerbitkan bahan hasutan.
Lai, 78, yang kini dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot menafikan semua pertuduhan, menyifatkan dirinya sebagai “tahanan politik” yang menjadi sasaran tekanan Beijing.
Nasib Lai menjadi perhatian dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan keras keselamatan negara di Hong Kong selepas protes besar-besaran pada 2019.
Starmer turut membangkitkan kes Lai yang memegang kewarganegaraan Britain semasa pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, di Beijing bulan lalu.
Beliau menegaskan, kerajaan Britain akan terus menggesa pembebasan Lai manakala Trump juga dikatakan mengemukakan perkara sama kepada Xi dalam pertemuan pada Oktober lalu.
Menurut beberapa diplomat Barat, usaha rundingan bagi pembebasan Lai dijangka dipertimbangkan secara lebih serius selepas hukuman dijatuhkan, bergantung pada langkah rayuan.
Dalam pada itu keluarga dan penyokong Lai memberi amaran bahawa beliau mungkin tidak mampu bertahan lama dalam penjara berikutan masalah kesihatan termasuk degupan jantung tidak stabil dan tekanan darah tinggi.
Di bawah garis panduan undang-undang keselamatan negara (NSL), Lai dilabel sebagai “dalang” konspirasi untuk mendapatkan sokongan tokoh dan aktivis luar negara bagi menekan Hong Kong dan China melalui sekatan.
Kesalahan itu membawa hukuman antara 10 tahun hingga penjara seumur hidup bagi kes berunsur “serius.”
