DAPSY Selangor pertahan pilihan raya Datuk Bandar KL

SEPANG 2 Feb. – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor mempertahankan cadangan kajian mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur seperti saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Setiasusaha Publisiti DAPSY Selangor Edmund Lim berkata, pilihan raya Datuk Bandar dan Ahli Majlis bukan sekadar soal sistem, tetapi soal prinsip bahawa bandar dan komuniti seharusnya dipimpin oleh mereka yang dipilih oleh rakyat, untuk rakyat.

Beliau pada masa sama yang membidas Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang menentang cadangan itu dan menyifatkan ADUN Merlimau itu semakin hampir dengan cara dan pendekatan Pas.

“Apa sahaja cadangan daripada DAP akan dibantah tanpa menilai meritnya. Soal sama ada cadangan itu memberi manfaat kepada rakyat atau disokong oleh fakta seolah-olah tidak lagi penting, yang utama hanyalah membantah,” kata Lim.

Dalam mempertahankan cadangan itu, Lim berkata, walaupun kaedah pelantikan ketika ini mempunyai kelebihan tertentu, tetapi tiba masanya untuk berbincang secara matang tentang kebaikan mengembalikan kuasa memilih kepada rakyat.

“Apabila pemimpin dipilih oleh rakyat, tahap kebertanggungjawaban akan menjadi lebih tinggi kerana mereka perlu menjawab terus kepada pengundi, bukan semata-mata kepada pihak yang melantik,” kata Ahli Majlis Majlis Bandaraya Diraja Klang itu dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya lebih peka terhadap isu setempat malah mereka yang dipilih akan lebih memahami keperluan komuniti kerana mereka bergantung kepada sokongan rakyat setempat untuk berkhidmat.

Katanya, pilihan raya juga memperkukuhkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi, memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat secara aktif dalam pentadbiran tempatan, sekali gus memupuk kesedaran sivik dan rasa memiliki terhadap bandar dan komuniti mereka.

Di samping itu, ketelusan dan kepercayaan awam dapat dipertingkatkan di mana proses pilihan raya yang terbuka dan kompetitif membolehkan rakyat menilai visi, rekod dan keupayaan calon sebelum membuat pilihan.

“Akhir sekali, pilihan raya kerajaan tempatan mewujudkan sistem semak dan imbang yang lebih sihat. Pemimpin tempatan akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerana mandat mereka datang terus daripada rakyat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment