LONDON – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak rayuan Israel terhadap kesahihan siasatan mahkamah itu berhubung jenayah perang yang dilakukan di Gaza selepas Oktober 2023.
Barisan hakim mengesahkan keputusan terdahulu kamar pra-perbicaraan, dengan memutuskan bahawa tiada “situasi baharu” yang memerlukan pendakwa raya memulakan semula proses atau mengeluarkan notis baharu kepada Israel.
Kamar rayuan memutuskan yang siasatan sejak Oktober 2023 melibatkan “jenis konflik bersenjata yang sama, wilayah yang sama serta pihak sama yang didakwa terlibat dalam konflik” seperti disiasat dalam kes Palestin yang berlarutan sekian lama.
Israel berhujah yang skala konflik selepas 7 Oktober menandakan perubahan asas yang mencetuskan kewajipan undang-undang baharu di bawah Artikel 18 Statut Rom.
Hakim menolak dakwaan itu, dengan menyimpulkan bahawa “tiada perubahan besar terhadap parameter siasatan yang memerlukan notis baharu telah berlaku.”
Mahkamah menyatakan siasatan asal yang dibuka pada 2021 merangkumi jenayah perang yang dilakukan “sejak 13 Jun 2014, tanpa tarikh tamat.”
Keputusan itu mengukuhkan asas undang-undang bagi waran tangkap yang dikeluarkan pada November 2024 terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant, yang dituduh melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Nnnn
