SYDNEY – Perdana Menteri Australia Anthony Albanese tidak melihat sebarang kaitan antara serangan maut terhadap satu perayaan Yahudi di Sydney dengan pengiktirafan kerajaan beliau terhadap negara Palestin.
Albanese ketika bercakap kepada penyiar Australia, ABC, berkata majoriti dunia mengiktiraf penyelesaian dua negara sebagai jalan yang tepat ke hadapan.
“Ini merupakan 24 jam yang luar biasa traumatik,” katanya sebagai reaksi kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang menuduh Australia “menuang minyak ke api anti-Semitik” dan gagal mengambil tindakan tegas terhadap anti-Semitisme.
Katanya, tanggungjawab beliau adalah untuk memberikan sokongan kepada komuniti Yahudi dan menjelaskan yang rakyat Australia secara keseluruhannya berdiri bersama komuniti Yahudi dalam waktu yang sukar ini.
Australia secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada September susulan serangan di Gaza.
Polis mengenal pasti seorang lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 24 tahun sebagai bertanggungjawab terhadap insiden tembakan yang mengorbankan 15 orang di Bondi Beach, lokasi tumpuan ramai, semasa sambutan Hanukkah.
Menurut penyiasat, si bapa yang maut ditembak polis adalah ahli sebuah kelab memburu dan mempunyai lesen senjata api.
Anaknya ditahan dan kini dirawat di hospital akibat kecederaan serius. Insiden itu diklasifikasikan sebagai serangan pengganas berunsur anti-Semitik.
