MCA, MIC mencari ‘pintu keluar’ BN

APA lagi yang ada jika MCA dan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN)? Pernah mempunyai anggota gabungan terbesar – 14 parti politik termasuk Sabah dan Sarawak, yang tinggal bersama BN kini hanya UMNO, MCA, MIC.

Semua parti politik di Sarawak sudah angkat kaki meninggalkan BN yang ditubuhkan pada 1974 bagi menggantikan Perikatan. Dari Sabah pula yang tinggal hanya Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pimpinan anak muda Arthur Joseph Kurup.

Begitulah yang terjadi apabila kuasa hilang atau menjadi lemah. Masing-masing lari lintang pukang mencari ‘dahan’ baharu untuk bergayut.

Berdasarkan situasi semasa ketika Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 baru-baru ini, berapa lama PBRS mampu bertahan bersama BN?  Adakah PBRS tidak mahu kembali menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Usaha BN untuk kembali menguasai Sabah menerusi kempen Bikin Balik Sabah semasa pilihan raya ditolak rakyat negeri di bawah bayu itu sebaliknya tiba masa untuk gabungan yang berusia 51 tahun itu Bikin Balik BN, sama ada di peringkat Sabah atau sekurang-kurangnya kekal apa yang ada, bukannya UMNO sendirian.

Mungkin ketika PBRS sedang berkira-kira untuk mencari hala tuju baharu politik di Sabah, BN kini berdepan suasana politik yang boleh menjadikan gabungan itu hanya tinggal UMNO dan akhirnya BN tinggal nama tanpa parti komponen.

Ia susulan ‘hasrat’ komponen di Semenanjung iaitu MIC dan MCA tidak menolak kemungkinan untuk tidak bekerjasama dengan BN.

Bagaimanapun hasrat itu boleh dianggap sekadar untuk menguji BN atau ‘mengejutkan’ BN supaya tidak terlalu selesa dengan kerjasama yang terjalin dengan komponen Pakatan Harapan (PH) – PKR, DAP, Amanah.

Kehadiran ‘orang ketiga’ bukan sahaja meresahkan MCA dan MIC sebaliknya menggugat ‘iman’ orang UMNO khususnya generasi lama yang sejak dulu diasuh untuk ‘menolak’ kerjasama dengan parti-parti dalam gabungan PH.

MCA dan MIC dikatakan merajuk dengan BN. Hakikatnya mereka masih bermain tarik tali, ‘jual mahal’ atau tawar menawar dalam isu gabungan ini walaupun mereka sendiri belum pasti kedudukan – tenggelam atau timbul – jika meninggalkan BN.

Semalam MCA menolak kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang turut dinaungi parti Pas, kerana masyarakat Cina sukar menerima ideologi parti itu.

Pada masa sama, MCA juga tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan strategiknya bersama BN, sekiranya UMNO terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama di luar gabungan itu, terutama DAP.

PN ada Pas, PH pula ada DAP. Gabungan yang mana satu benar-benar menggugat masa depan MCA? Adakah wujud keserasian jika MCA pilih PN atau PH?

MCA menegaskan, setiap kali perkara membabitkan asas ideologi dan hala tuju parti, atau kelangsungan MCA dalam politik negara, Jawatankuasa Pusat tidak akan teragak-agak membuat keputusan sewajarnya pada masa tepat.

Berdasarkan kenyataan Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, pada Perhimpunan Agung MCA semalam, ternyata parti yang pernah menjadi tunjang pembentukan Perikatan kemudiannya BN itu tidak dapat menerima Pas dan DAP.

Tindakan segelintir pemimpin Pas yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi, menyerlahkan konservatisme agama dan menyinggung perasaan penganut agama lain menyebabkan parti bukan Islam tidak sehaluan dengan PN.

Keadaan mungkin berbeza jika Pas membuat pembaharuan dalam partinya dengan menggunakan pendekatan lebih sederhana dan diterima masyarakat majmuk.

“Ada yang mencadangkan supaya kita menyertai gabungan pembangkang, PN tetapi kita amat jelas bahawa masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas, malah menolak parti itu,” katanya.

Masalah juga timbul jika bersama PH. Sama seperti UMNO  “suatu masa dulu NO DAP”, pendirian MCA juga amat jelas ‘NO DAP’.

“Dalam sebarang keputusan besar mengenai kerjasama politik pada masa depan, jika UMNO terus cenderung kepada kerjasama di luar BN terutamanya DAP sehingga semangat BN hilang makna, MCA tidak akan berdiam diri.

“Kita akan menilai semula kedudukan strategik kita dan membuat keputusan yang terbaik untuk menjaga kepentingan parti,” kata Ka Siong.

Sebelum ini, ketika Perhimpunan Agung MIC ke-79, Timbalan Presidennya,  M Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk cadangan meninggalkan BN dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.

Pada hari sama, Presiden MIC, S A Vigneswaran dipetik sebagai berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Vigneswan juga berkata MIC kekal memberikan sokongan padu kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sehingga mandat beliau berakhir, tanpa mengira apa jua keputusan politik yang bakal diputuskan.

Ketika Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati apa juga keputusan oleh perwakilan dan kepemimpinan MIC, Timbalannya Mohamad Hassan akan mengadakan perbincangan menerusi perjumpaan dengan pemimpin parti itu.

Perjumpaan itu dicadangkan selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah yang berlangsung 29 November lalu.

Hakikatnya jika MCA dan MIC kekal bersama BN atau sebaliknya, cabaran yang bakal dihadapi adalah pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kecuali berlaku perubahan sikap BN terhadap DAP.

Mungkin MCA dan MIC kekal dengan apa yang ada ‘dalam tangan’.

Sebaliknya jika bersama PN, peluang bertanding lebih banyak kerusi terbuka tetapi tanpa jaminan menang kerana berhadapan dengan calon-calon yang mewakili PKR dan DAP dan mungkin juga UMNO.

Dan jika bersendirian pula, peluang MCA dan MIC untuk mempertahankan kerusi juga dijangka sukar. Maka pilihan yang ada, kekalkan persahabatan yang sudah lama terjalin dengan BN!

Nnnn

Related posts

Leave a Comment