SHAH ALAM 8 Dis. – Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin dan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat menerima suapan dan rasuah berhubung projek ternakan lembu di Kedah.
Mereka membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan Amar Assuat untuk menerima RM400,000 daripada seorang individu sebagai dorongan membantu memperoleh Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad pada 23 Jun 2020 di Bandar Baru Bangi.
Pertuduhan terhadap Azman dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, Amar Assuat, 41, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan RM400,000 daripada individu terbabit bagi tujuan sama.
Mengikut pertuduhan pertama, Amar Assuat didakwa meminta RM400,000 daripada seorang individu pada 20 Jun 2020 di sebuah restoran di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi sebagai dorongan membantu memperoleh projek fidlot berkenaan.
Pada prosiding sama, Amar Assuat, 41, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan RM400,000 daripada individu terbabit bagi tujuan sama.
Bagi pertuduhan kedua, Amar Assuat didakwa menerima wang tunai RM400,000 daripada individu sama pada 23 Jun 2020 di tepi jalan berhadapan sebuah pejabat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi sebagai upah mendapatkan projek itu.
Kedua-dua pertuduhan terhadap Amar Assuat dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin, memohon mahkamah mengenakan jaminan RM100,000 terhadap Azman selain mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Azman, N Surendran, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung isteri serta lima anak selain mempunyai ibu berusia 82 tahun.
Beliau berhujah bahawa Azman sudah tiga penggal sebagai ahli Parlimen yang aktif dan tidak berisiko melarikan diri kerana kedudukannya boleh terbatal sekiranya gagal memenuhi tanggungjawab lebih enam bulan.
Bagi Amar Assuat, Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan RM200,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada SPRM.
Peguamnya, R Yoganathan, memohon jumlah dikurangkan kepada RM30,000 dengan alasan tertuduh menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga anak termasuk seorang yang sedang menduduki peperiksaan SPM, dan jumlah RM200,000 adalah terlalu tinggi dan bersifat menghukum.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM75,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin, serta mengarahkan kedua-duanya menyerahkan pasport kepada mahkamah dan Amar Assuat diarah melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Hakim menetapkan 13 dan 17 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, Surendran akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan bersubahat menerima suapan RM400,000 yang dikenakan terhadap anak guamnya,
Menurut Surendran, pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu adalah cacat, tidak sah dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan yang menimbulkan kesalahan rasuah dilakukan Azman.
Beliau berkata, butiran dalam kertas pertuduhan tidak menyatakan sebarang perbuatan menerima suapan atau sebarang perlakuan lain yang mewajarkan pertuduhan dibuat terhadap Ahli Parlimen terbabit.
“Kami berpendirian pertuduhan ini defektif dan tidak mempunyai asas undang-undang, dan kami akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkannya,” katanya pada sidang media selepas prosiding mahkamah, hari ini.
Surendran turut membantah perintah mahkamah yang mengarahkan pasport Azman diserahkan kepada mahkamah dan menyifatkan arahan itu tidak teratur serta tidak berasaskan risiko melarikan diri.
Beliau berkata, Azman adalah Ahli Parlimen aktif yang mempunyai rekod baik, menanggung keluarga dan terikat dengan kewajipan Perlembagaan yang menyebabkan kedudukannya akan terbatal jika tidak hadir menjalankan tugas lebih enam bulan.
“Kami akan memfailkan semakan atau rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar perintah penyerahan pasport,” katanya.
Nnnnn
