Mekanisme Pampasan Setara lindungi rakyat

SEPANG 27 Nov. – Parti Bumiputera Perkasa (Putra) menggesa kerajaan melaksanakan Mekanisme Pampasan Setara, satu dasar yang mewajibkan mana-mana agensi atau pihak pelaksana membayar pampasan sekiranya projek mereka gagal berfungsi, menyebabkan banjir yang merosakkan harta benda rakyat.

Pemangku Ketua Wira Putra Dr Mohamad Izwan Zainal berkata, langkah itu susulan kerajaan memperuntukkan lebih RM15 bilion sejak 2022 bagi projek tebatan banjir jangka panjang sehingga 2030, tetapi rakyat masih berdepan dengan  banjir.

“Ke mana hilangnya keberkesanan projek-projek ini? Mengapa selepas peruntukan besar diumumkan, rakyat masih meredah air bah, mengangkat perabot rosak, dan memulakan hidup dari kosong setiap kali musim hujan tiba? Ini bukan soal cuaca. Ini soal kegagalan kepemimpinan.

“Jika kerajaan benar-benar yakin projek tebatan banjir mereka berkesan, mereka seharusnya tidak takut kepada mekanisme ini. Tetapi jika kerajaan keberatan untuk melaksanakannya, maka rakyat berhak bertanya, apa yang ingin disembunyikan dan siapa yang cuba dilindungi?,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, Mekanisme Pampasan Setara akan menghentikan budaya “cukup sekadar siap”, sedangkan rakyat terus menderita; memaksa agensi lebih berdisiplin, lebih telus, dan lebih bertanggungjawab; melindungi rakyat yang selama ini menanggung kerugian tanpa sedikit pun ganti rugi dan menjadi isyarat bahawa pentadbiran negara tidak lagi bertolak ansur dengan kegagalan.

Beliau berkata, mekanisme itu perlu kerana saban tahun, rakyat terus dihukum oleh banjir, di tempat yang sama, dengan penderitaan yang sama malah semakin merebak sehinggan ke tempat dan kawasan tidak pernah banjir.

Katanya, Malaysia mempunyai pelbagai jabatan teknikal di peringkat Persekutuan, negeri, dan daerah termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi pengurusan banjir masih sama seperti dua dekad lalu, tiada pembaharuan, tiada keberanian membuat keputusan tegas, dan tiada kebertanggungjawaban.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan. Rakyat tidak mahu lagi melihat projek diumumkan tetapi tidak dihayati keberkesanannya.

Apa yang rakyat lihat hari ini ialah budaya pentadbiran yang lebih sibuk meraikan perasmian projek berbanding memastikan projek tersebut benar-benar menyelamatkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh menjadi negara maju dengan mentaliti “asal siap” dan  rakyat terus menjadi mangsa.

“Kita tidak boleh membina masa depan yang lebih selamat selagi kerajaan hari ini masih gagal mengurus masalah paling asas — melindungi rakyat daripada banjir yang sama setiap tahun.

Rakyat berhak kepada kerajaan yang serius, bukan kerajaan yang sekadar memberi alasan, bukan retorik serta Malaysia memerlukan keberanian untuk berubah, bukannya kaya dengan slogan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment