Parti Perjuangan Rakyat bukan Pejuang

PUTRAJAYA  15 Nov. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November ini.

Sebaliknya, SPR dalam kenyataan media Bil.29/2025 malam ini memaklumkan Parti Perjuangan Rakyat (PR) yang meletakkan enam orang calon (termasuk di DUN N.25 Kapayan).

Ini bermakan jumlah parti serta Bebas yang bertanding adalah 23 bukan 24 seperti dilaporkan melalui kenyataan media Bil.28/2025 yang turut menyenaraikan Pejuang bertanding satu kerusi.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, dalam satu kenyataan menegaskan, parti itu tidak bertanding dalam PRU Dewan Undangan Sabah ke-17, dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujud calon mewakili parti berkenaan.

Beliau berkata, Majlis Eksekutif Pusat (MEP) selaku badan kepemimpinan tertinggi parti tidak pernah memberi mandat kepada mana-mana individu untuk bertanding pada PRN Sabah 2025 atas nama parti.

Katanya, Presiden Pejuang,  Mukhriz Mahathir, tidak pernah mengeluarkan sebarang watikah pencalonan kepada mana-mana pihak bagi tujuan itu

Namun, salah seorang calon bagi kerusi N.25 Kapayan diumumkan sebagai calon mewakili Pejuang dan ditampilkan bersama logo parti.

Susulan itu, wakil Pejuang Sabah telah diarahkan membuat laporan polis segera kerana penggunaan salah dan penipuan terhadap logo Pejuang.

“Pejuang telah bersetuju untuk menyokong dan membantu kempen calon-calon Perikatan Nasional (PN) di 41 kerusi yang dimasuki gabungan tersebut bagi PRN Sabah 2025,” kata Rafique.

Mukhriz dijadual berada di Sabah dari 21 hingga 23 November, bersama kepemimpinan Pejuang dari Semenanjung dan Sabah, bagi membantu jentera PN mencapai kemenangan di negeri itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment