Naib Presiden AS yakin gencatan di Gaza

KIRYAT GAT – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, yakin gencatan senjata di Gaza akan kekal walaupun wujud kebimbangan di pihak Israel bahawa Hamas mengambil kesempatan untuk menegakkan semula kuasanya.

Vance menegaskan Washington tidak akan menetapkan tarikh akhir bagi kumpulan itu untuk melucutkan senjata di bawah perjanjian yang diuruskan oleh AS.

Beliau berkata demikian dalam rangka lawatan ke Israel yang bertujuan mengukuhkan sokongan terhadap pelan damai dan rancangan pembangunan semula pasca perang.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini memberi amaran bahawa negara-negara sekutu di rantau itu akan menyerang Gaza dan menghapuskan Hamas jika kumpulan itu gagal mematuhi gencatan senjata terbabit.

“Apa yang kita lihat sepanjang minggu lalu memberi saya optimisme yang tinggi bahawa gencatan senjata ini akan kekal,” kata Vance dalam sidang media di Kiryat Gat, sebuah bandar di selatan Israel di mana misi pemantauan gencatan senjata yang dipimpin AS beroperasi.

“Saya rasa semua orang patut berbangga dengan kedudukan kita hari ini. Ia memerlukan usaha berterusan, pemantauan dan penyeliaan yang berterusan,” tambahnya.

Vance dijadual bertemu pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis esok.

Sementara itu Hamas memaklumkan mereka memerlukan masa dan bantuan teknikal untuk mencari mayat tebusan Israel yang masih terperangkap di bawah runtuhan di Semenanjung Gaza.

Ahad lalu, berlaku kejadian keganasan paling buruk sejak permulaan gencatan senjata, apabila dua askar Israel terbunuh, mencetuskan serangan udara balas yang hebat.

Sebelum ketibaan Vance, Presiden AS, Donald Trump telah mengeluarkan amaran keras kepada Hamas menerusi platform media sosialnya, Truth Social.

“Banyak sekutu hebat kita di Asia Barat, dan kawasan sekitar Asia Barat, telah… memaklumkan kepada saya bahawa mereka mengalu-alukan peluang, atas permintaan saya, untuk masuk ke Gaza dengan pasukan yang kuat dan ‘membetulkan’ Hamas sekiranya Hamas terus bertindak buruk,” tulis Trump.

Nnn

Related posts

Leave a Comment