GAZA – Lebih 20,000 pelajar terbunuh dengan lebih 31,000 cedera sejak perang Israel-Hamas di Gaza pada 7 Oktober 2023, dengan peningkatan kes kematian direkodkan di Tebing Barat yang diduduki.
Memetik laporan The International Middle East Media Center (IMEMC), Kementerian Pendidikan Palestin memaklumkan di Gaza, sejumlah 19,910 pelajar dilaporkan terkorban dengan 30,097 mengalami kecederaan.
Manakala di Tebing Barat, Kementerian Pendidikan Palestin memaklumkan, 148 pelajar terkorban, 1,042 cedera, manakala 846 lagi berada dalam tahanan Israel.
Sementara itu, jumlah kematian dalam kalangan guru dan kakitangan pendidikan adalah 1,037, dengan 4,740 lagi dilaporkan cedera, sementara 228 orang berada dalam tahanan di Tebing Barat.
Kementerian Pendidikan Palestin turut melaporkan perangkaan mengenai infrastruktur pendidikan yang musnah di Gaza akibat serangan Israel.
Setakat ini, 179 sekolah kerajaan musnah sepenuhnya, 63 bangunan universiti runtuh, selain 118 sekolah kerajaan dengan lebih 100 sekolah di bawah Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dibom dan dirosakkan.
Sementara itu, di Tebing Barat, tentera Israel merobohkan Sekolah Rendah Ameera di Yattadan Sekolah Rendah Aqaba di Tubas manakala data menunjukkan, lapan universiti dan kolej sudah berulang kali diserbu dan dirosakkan oleh tentera Israel.
Kementerian itu turut menegaskan skala kemusnahan bukan sahaja mengganggu pendidikan dijalankan tetapi menyasarkan asas kehidupan akademik Palestin.
Pada hari ke-12 gencatan senjata selepas 735 hari perang dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin di Gaza, krisis kemanusiaan kekal teruk di tengah-tengah pencabulan Israel yang berterusan dengan jumlah bantuan kemanusiaan terhad.
Ahad lalu, tentera Israel melancarkan gelombang serangan udara di seluruh Gaza, mengakibatkan sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin terbunuh dan menyebabkan ramai tercedera.
Walaupun gencatan senjata dimeterai, tentera Israel masih menghalang penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal daripada pulang ke kediaman mereka.
Jumlah keseluruhan kematian di Gaza sejak 7 Oktober 2023 kini mencecah lebih 68,159 dengan 170,203 cedera, sebahagian besar daripada mereka adalah kanak-kanak, wanita dan warga tua.
Nnnn
