PUTRAJAYA 20 Okt. – Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit, termasuk pihak pentadbiran institusi, pelajar, atau individu yang gagal melindungi keselamatan murid di institusi pendidikan agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya memandang serius terhadap laporan media berkaitan dakwaan seorang murid perempuan berusia 13 tahun dibuli baru-baru ini.
“Saya mengambil maklum laporan dakwaan seorang murid perempuan dari sebuah institusi pendidikan agama di ibu negara yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan trauma emosi,” katanya.
Justeru beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyiasat secara terperinci dakwaan ini dengan segera.
“Segala bentuk penderaan, dan buli sama ada secara fizikal, mental mahupun emosi tidak boleh diterima sama sekali dalam mana-mana institusi pendidikan Islam.
Nilai ihsan, kasih sayang, dan saling menghormati mesti menjadi teras kepada pendidikan berteraskan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menyeru semua institusi pendidikan agama sama ada di bawah kerajaan, negeri, mahupun swasta untuk memperkukuh dasar dan mekanisme pencegahan buli, termasuk mempertingkatkan pemantauan asrama, memperkasakan kaunseling pelajar, dan memastikan saluran aduan yang selamat bagi murid untuk bersuara.
“Islam menganjurkan nilai ihsan dàn menegaskan bahawa setiap insan mesti dipelihara maruahnya ,” katanya sambil menarik perhatian firman Allah SWT yang bermaksud “Dan janganlah kamu menyakiti antara satu sama lain, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kezaliman.” (Al-Baqarah, 190).
Dr. Mohd Na’im turut mengajak seluruh masyarakat untuk menjadikan institusi pendidikan agama sebagai tempat yang benar-benar mendidik jiwa, bukan medan ketakutan.
Katanya, tindakan pantas, adil dan berhemah amat penting agar kepercayaan ibu bapa terhadap sistem pendidikan Islam terus terpelihara.
“Saya mengajak semua pihak bersatu hati menghapuskan semua bentuk buli. Aspek pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dillaksanakan secara bersepadu, dilaksanakan di semua institusi termasuk institusi pendidikan agama sebagai tempat yang benar-benar selamat serta menyuburkan akhlak,” katanya.
Nnnn
