KUALA LUMPUR 16 Okt . – Pergerakan Pemuda UMNO akan menganjurkan satu forum Meja Bulat Pendidikan Nasional dalam menghadapi krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan negara yang semakin meruncing termasuk isu disiplin murid.
Forum ini akan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru, PIBG, ahli akademik, NGO pendidikan serta wakil pelajar bagi merangka solusi komprehensif terhadap krisis ini.
Empat teras utama menjadi tumpuan iaitu Memulihkan autoriti dan maruah guru; Menilai semula silibus agar seimbang antara akademik, nilai dan kemahiran hidup; Menangani krisis disiplin dan emosi pelajar serta mencari pendekatan paling sesuai dan Menstruktur semula sistem pentaksiran dan beban birokrasi sekolah.
Pemuda UMNO dalam kenyataannya berkata pendidikan bukan sekadar soal akademik tetapi pembentukan bangsa dan nilai di mana generasi muda mesti dilatih untuk berfikir, beradab dan berjiwa besar, bukan hanya lulus peperiksaan.
Pendirian itu adalah antara tiga ketetapan yang diambil pada Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang dipengerusikan Ketuanya Dr Muhammad Akmal Saleh semalam.
Mesyuarat itu meneliti perkembangan politik dan sosial semasa yang memberi kesan
langsung kepada generasi muda negara, menilai isu-isu kritikal berkaitan
sistem pendidikan nasional, pembangunan belia, dan persiapan menghadapi Pilihan
Raya Negeri Sabah (PRN Sabah) yang diumumkan baru-baru ini.
Mengenai Belanjawan 2026, Pemuda menyambut baik langkah-langkah yang memberi manfaat langsung kepada golongan muda, antaranya dana RM3 bilion HRD Corp untuk latihan kemahiran berteknologi tinggi dan digital.
Begitu juga Latihan GiatMARA kepada 13,000 peserta muda dari golongan berpendapatan rendah; RM15 juta bagi membudayakan sains, teknologi dan daya cipta di kalangan belia; RM6 bilion untuk memperkukuh peluang pendidikan Bumiputera melalui MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju.
Pengecualian duti setem sepenuhnya bagi pembelian rumah pertama bawah RM500,000, yang menggalakkan pemilikan kediaman dalam kalangan muda.
Insentif caruman padanan KWSP untuk pekerja gig dan e-hailing, serta penyerapan tetap kakitangan kesihatan kontrak yang menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kestabilan pekerjaan.
Bagaimanapun, Pemuda UMNO berpandangan bahawa beberapa aspek masih perlu diperhalusi, termasuk isu harga rumah bandar yang terus meningkat, serta had pendapatan isi rumah untuk kelayakan pinjaman pendidikan percuma PTPTN yang masih terlalu rendah.
“Pemuda UMNO akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang menyokong dasar yang baik, namun tetap berani menegur perkara yang boleh diperbaiki demi masa depan generasi muda,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah, Pemuda UMNO Malaysia telah mengaktifkan Pelan Kesiapsiagaan Pemuda BN Sabah sepenuhnya
“Pemuda UMNO menegaskan komitmen untuk memastikan isu-isu anak muda Sabah diberi keutamaan dalam manifesto BN, termasuk peluang pekerjaan, kemahiran TVET, pemilikan rumah mampu milik dan pembangunan luar bandar berimpak tinggi.
Pemuda UMNO juga menekankan agar calon-calon muda terus diberikan ruang dalam senarai Barisan Nasional (BN) sebagai tanda kepercayaan kepada tenaga baharu dan kesinambungan kepemimpinan.
Menurut kenyataan itu, gerakan Pemuda di seluruh negara akan turun padang membantu jentera BN Sabah melalui pendekatan komunikasi digital, kempen media sosial dan program lapangan bagi mendekati pengundi muda di semua zon.
“Bagi Pemuda UMNO, PRN Sabah bukan sekadar pertarungan politik tetapi perjuangan untuk “Bikin Balik Sabah”..membina semula keyakinan rakyat kepada kerajaan yang stabil, berpengalaman dan berpaksikan rakyat,” kata kenyataan itu.
