Tentera agih vitamin

JAKARTA – Tentera Indonesia mula menghasilkan multivitamin untuk diagihkan kepada kanak-kanak menerusi program makanan percuma kerajaan, satu langkah memperluaskan peranan tentera dalam kehidupan awam di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Timbalan Menteri Pertahanan, Marsyal Udara (B) Donny Ermawan Taufanto, secara simbolik menyerahkan 4.8 juta pil multivitamin yang dihasilkan makmal tentera kepada 100 dapur yang terbabit dalam program makanan percuma di ibu negara, Jakarta.

Sejak mengambil alih jawatan tahun lalu, Prabowo, bekas komander pasukan khas, memperluas pembabitan tentera termasuk dalam penghasilan ubat-ubatan, pelaksanaan projek makanan percuma sekolah, dan inisiatif keselamatan makanan.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar dan aktivis bahawa demokrasi ketiga terbesar di dunia itu mungkin kembali ke era pemerintahan tentera seperti zaman Orde Baru di bawah pemimpin autoritarian Suharto.

Namun, kerajaan menjelaskan ia adalah sebahagian daripada usaha pertahanan negara dalam sektor farmaseutikal serta bagi menyediakan ubat dan vitamin pada harga lebih rendah.

Program makanan percuma itu sebelum ini mencetuskan bantahan awam susulan beberapa insiden keracunan makanan yang menjejaskan 9,089 kanak-kanak sejak dilancarkan pada Januari hingga September.

Beberapa pertubuhan kesihatan menggesa kerajaan menggantung sementara program berkenaan, bagaimanapun kerajaan menegaskan program yang antara janji utama Prabowo itu penting bagi memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak

“Vitamin ini dihasilkan bagi menyokong program makanan percuma kerajaan dengan kapasiti pengeluaran mencecah jutaan pil,” kata Taufanto.

Sebelum ini, pada Julai, makmal tentera turut menghasilkan ubat untuk kegunaan awam yang kini diagihkan menerusi 80,000 koperasi yang disokong kerajaan.

Related posts

Leave a Comment