Gerakan pilih Rasah, tujuh DUN

SEREMBAN 28 Ogos – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhasrat untuk bertanding satu kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata kerusi Parlimen itu ialah Rasah, manakala DUN pula membabitkan Temiang, Bahau, Bukit Kepayang, Rahang, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.

“Kita tahu ada banyak tempat kita boleh bertanding terutamanya kawasan masyarakat Cina tetapi kita ingin fokus kawasan yang boleh menang.

Apa yang penting kita akan fokus kepada kualiti dan bukannya kuantiti,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri ke-47, Wanita dan Pemuda ke-35 Gerakan Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti senarai calon yang dikemukakan oleh Ketua Badan Perhubungan Kawasan di setiap negeri sebelum diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu,  Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Sembilan, Choong Vee Hing. berkata, berdasarkan perbincangan awal, PN Negeri Sembilan bersetuju menggunakan formula 4-3-1 dalam pembahagian kerusi Parlimen di Negeri Sembilan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diperuntukkan sebanyak empat kerusi Parlimen, Pas tiga kerusi dan satu daripada Gerakan.

“Bagaimanapun keputusan itu belum dimuktamadkan, namun Gerakan negeri berhasrat untuk bertanding di Parlimen Rasah.

“Kita telah membuat analisis sama ada untuk bertanding di Parlimen Seremban, tetapi akan lihat terlebih dulu dari segi peluang untuk menang di kerusi berkenaan.

“Setakat ini kita fokus Parlimen Rasah dulu kerana ada penyokong di DUN Seremban Jaya dan Bukit Kepayang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment