WASHINGTON – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghubungi Perdana Menteri Qatar dari Rumah Putih, memohon maaf atas serangan terhadap Hamas di negara Teluk itu dan berjanji tidak akan berbuat demikian lagi.
Menurut kenyataan Rumah Putih, Netanyahu membuat panggilan telefon itu ketika bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai gencatan senjata di Gaza.
“Sebagai langkah pertama, Perdana Menteri Netanyahu menyatakan kekesalannya yang mendalam kerana serangan peluru berpandu Israel terhadap sasaran Hamas di Qatar yang secara tidak sengaja membunuh seorang anggota tentera Qatar,” kata kenyataan itu.
“Beliau seterusnya menyatakan kekesalan bahawa, dalam menyasarkan kepimpinan Hamas semasa rundingan tebusan, Israel melanggar kedaulatan Qatar dan menegaskan bahawa Israel tidak akan melakukan serangan sedemikian lagi pada masa hadapan,” katanya.
Bagaimanapun Israel tidak serta-merta memberikan keterangan mengenai panggilan itu, walaupun Netanyahu dijangka kemudiannya mengadakan sidang akhbar dengan Trump.
Serangan itu berlaku ketika pemimpin Hamas membincangkan cadangan AS untuk gencatan senjata di Gaza.
Kenyataan Rumah Putih berkata, Netanyahu dan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani juga bersetuju untuk menubuhkan kumpulan tiga hala untuk “meningkatkan penyelarasan, memperbaiki komunikasi, menyelesaikan aduan bersama dan mengukuhkan usaha kolektif untuk mencegah ancaman.”
Netanyahu sebelum ini menyelar Qatar, kerana menyediakan pangkalan untuk Hamas.
Trump, yang sebelum ini menerima hadiah sebuah pesawat mewah daripada Qatar – berkata, beliau tidak berpuas hati dengan serangan Israel di Qatar.
Nnn
