Sekatan senjata global, tekanan ekonomi

NEW YORK 27 Sept. – Masyarakat antarabangsa digesa menghentikan segera serangan Israel di Gaza dengan mengenakan sekatan senjata global dan tekanan ekonomi yang lebih keras, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Mohamad berkata dunia tidak boleh lagi berdiam diri ketika puluhan ribu nyawa tidak bersalah terus terkorban.

Justeru katanya, libat urus dengan anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi mengguna pakai Perkara VII Piagam PBB, perlu dilakukan sebagai langkah penting untuk membuka jalan kepada sekatan senjata global dan sekatan ekonomi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Mesyuarat Peringkat Tinggi bagi Menghentikan Pembunuhan Beramai-Ramai di Gaza anjuran Kumpulan Hague.

Mohamad turut menggesa kerjasama erat dengan Jawatankuasa PBB mengenai Pelaksanaan Hak Tidak Boleh Diketepikan Rakyat Palestin serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menggerakkan tekanan diplomatik secara bersama

Beliau menegaskan Kumpulan Hague mesti menyatukan negara-negara untuk mengenakan sekatan senjata menyeluruh terhadap Israel, termasuk menyekat bekalan teknologi dan jentera berat yang boleh digunakan bagi meneruskan operasi ketenteraan.

“Dengan cara ini, kita menyekat alat yang digunakan untuk melakukan genosid dan Israel yang tekad meneruskannya,” katanya.

Sambil merujuk tindakan Malaysia mengenakan larangan terhadap kapal yang berdaftar di Israel atau kapal menuju ke Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara, beliau mahu langkah sama diambil oleh negara lain.

“Sejak 2023, Malaysia sudah melaksanakan larangan terhadap kapal yang berdaftar di Israel atau kapal menuju ke Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara.

“Kita perlu melarang kapal yang membawa bahan api ketenteraan dan senjata daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan. Sudah tiba masanya lebih banyak negara mengikuti langkah ini,” katanya.

Mohamad juga menuduh Israel sengaja mencetuskan ketidakstabilan serantau, merujuk serangan ke atas Iran pada Jun lalu dan serangan terbaharu ke atas Qatar – negara yang menjadi pengantara rundingan gencatan senjata.

“Tindakan ini jelas menunjukkan dahaga Israel kepada peperangan dan keengganannya hidup bersama secara aman dengan mana-mana negara,” katanya.

Kumpulan Hague ditubuhkan selepas Afrika Selatan memfailkan kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2023.

Ia berperanan menyelaras tindakan undang-undang, diplomasi dan ekonomi untuk memastikan Israel mematuhi perintah ICJ serta memperjuangkan penubuhan negara Palestin.

Malaysia adalah antara anggota paling vokal, sering mendesak tindakan tegas termasuk sekatan ekonomi untuk menghentikan kempen ketenteraan Israel.

Katanya, momentum dunia kini semakin memihak kepada Palestin, dengan banyak negara Barat kini mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment