SEPANG 27 Sept. – Dewan Pemuda Pas Selangor membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, ke Malaysia dalam mana-mana forum rasmi kerajaan susulan tindakan AS sebagai penyokong tegar Israel.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar dalam kenyataannya berkata, kehadiran Trump bukan satu penghomatan sebaliknya suatu penghinaan terhadap rakyat Malaysia yang konsisten menolak penjajahan Zionis Israel ke atas bumi Palestin.
Beliau berkata, baru-baru ini, dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika sekali lagi menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan resolusi gencatan senjata di Gaza.
“Ini bermakna Amerika secara langsung bersekongkol dengan jenayah perang Zionis Israel yang terus menumpahkan darah rakyat Palestin. Trump sendiri antara watak utama yang mengukuhkan kedudukan Israel.
Trump memindahkan kedutaan Amerika ke Baitulmuqaddis pada tahun 2018, sekali gus mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu kota Israel secara rasmi. Beliau juga menandatangani “Deal of the Century” yang menafikan hak kedaulatan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Sukri mendakwa kehadiran Trump bercanggah dengan prinsip Malaysia yang sejak awal konsisten menjadi suara Palestin di peringkat antarabangsa serta mencalar maruah negara yang memberi mesej songsang seolah-olah Malaysia menghalalkan pengganasan Zionis yang dilindungi kuasa besar.
Tegasnya, Pemuda Pas Selangor akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam menentang segala bentuk normalisasi dengan rejim Zionis, termasuk melalui proksi mereka.
“Sekiranya Donald Trump tetap hadir ke Malaysia, kami akan memobilisasi seramai mungkin rakyat untuk turun ke jalan membantah kehadirannya,” katanya.
Nnnn
