Putra gesa kerajaan ambil alih bangunkan Kampong Bharu
SEPANG – Kerajaan digesa mengambil alih pembangunan Kampong Bharu daripada pemaju asing dan mengarahkan agensi-agensi strategik milik umat Melayu Islam mengambil alih demi kesinambungan tanah pusaka Melayu di tengah bandar.
Presiden Putra, Ibrahim Ali berkata, gesaan itu bukan soal politik kepartian atau isu komersial, tetapi persoalan maruah sebuah bangsa, kedaulatan tanah rizab Melayu, dan survival umat Melayu di ‘jantung’ Kuala Lumpur.
Justeru beliau menarik perhatian kerajaan mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh agensi seperti Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Khazanah dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).
“Jika kerajaan gagal menggerakkan institusi-institusi ini, ia membuktikan kelemahan dan ketiadaan keberanian untuk mempertahankan hak bangsa,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kerajaan tidak boleh tunduk kepada tekanan pemaju asing yang berorientasikan keuntungan semata-mata, yang didakwa membayar pampasan jauh lebih rendah berbanding nilai sebenar.
“Pembangunan Kampong Bharu adalah persoalan maruah bangsa. Menggadaikan tanah ini sama ertinya dengan menyerahkan jantung bangsa kepada orang luar dan jika itu berlaku tiada lagi erti kemerdekaan negara,” katanya.
Ibrahim turut menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan sebarang keputusan atau pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan jangka panjang.
Tegasnya, sebarang tindakan pengabaian titah Sultan Selangor itu bererti melakukan penderhakaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu serta mencabul Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ibrahim, kerajaan juga wajib melunaskan pampasan yang telah dibayar pemaju setakat ini yang dianggarkan sekitar RM66.4 juta dan tidak menjadikan isu pampasan sebagai alasan untuk mengekalkan pengkhianatan.
“Sekalipun mencecah RM100 juta atau lebih , jumlah itu tidak seberapa berbanding nilai sebenar tanah Kampong Bharu yang bernilai berbilion ringgit, apatah lagi jika dibandingkan dengan maruah bangsa Melayu yang tidak ternilai harganya.
Mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih. Kerajaan boleh berbelanja berbilion ringgit untuk projek-projek mega dan ada yang rugi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ‘tangan ghaib’ yang cuba menangguk di air keruh dan pihak yang mengaut laba peribadi atas nama pembangunan, disifatkan sebagai pengkhianat bangsa.
“Putra tidak akan berdiam diri. Kami akan mendedahkan pengkhianat itu satu persatu di hadapan rakyat jika pengkianatan ini di teruskan. Jangan cabar
kesabaran Melayu.
Pengkianat akan di ingati zaman berzaman. Orang Melayu akan bangkit bersama menentang atas apa saja kezaliman terhadap mana-mana mangsa dan tidak timbul campur tangan dari luar dan tuduhan tiada kena mengena. Hentikan pengkhianatan.
Selamatkan Kampong Bharu. Junjung titah Sultan. Pertahankan maruah bangsa. Jangan sampai generasi Melayu hanya mampu melihat pusaka mereka tinggal nama di peta tetapi hilang dari tanah air sendiri,” katanya.
Ibrahim berkata, Putra berdiri teguh di barisan hadapan, bukan sahaja untuk mempertahankan Kampong Bharu, tetapi mempertahankan maruah bangsa Melayu dan kedaulatan Raja-Raja.
Putra turut menyeru semua bangsa Melayu bangkit bersama menyelamatkan tanah warisan bangsa saperti mana umat Palestin bangkit untuk.menyelamatkan bumi Gaza dari serangan zionis Israel.
“Umat Melayu juga wajib bersatu dan bangkit menolak dan menentang RUU URA (Akta Pembangunan Semula Bandar) yang amat bahaya kepada kehilangan tanah Melayu secara terancang,” katanya.
