RON95: Pelaksanaan bukan sekadar MyKad

PENAMPANG 21 Sept. – Bukan hanya MyKad fizikal sebaliknya pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 akan turut menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran bagi mendapatkan subsidi itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,  Armizan Mohd Ali berkata orang ramai tidak perlu bimbang sekiranya berdepan kesukaran apabila ingin membeli petrol bersubsidi akibat MyKad yang rosak.

Katanya,  antara kaedah lain yang disediakan adalah melalui aplikasi yang telah disediakan syarikat minyak seperti Setel dan Shell App yang membolehkan orang ramai menikmati subsidi itu dengan lebih mudah dan cepat.

“Pengguna juga boleh menggunakan kaedah pembayaran di terminal pembayaran di luar atau di dalam stesen minyak untuk membeli petrol bersubsidi itu. Jadi, jangan khuatir, jangan anggap bahawa MyKad (fizikal) hanya satu-satunya kaedah.

“Walaupun semuanya akan disandarkan kepada kelayakan yang ada dalam MyKad, pembelian itu tidaklah hanya bergantung pada satu kaedah semata-mata,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah di sini.

Armizan menegaskan bahawa kerajaan memastikan persiapan yang teliti telah dilakukan sejak awal tahun demi kelancaran pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan diumumkan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

Kerajaan katanya, akan memastikan langkah ini berjalan dengan lancar dan tidak akan membebankan rakyat, lebih-lebih lagi ada tuduhan menyatakan bahawa rakyat akan terpaksa beratur panjang nanti.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan orang ramai segera memeriksa dan menggantikan cip MyKad yang rosak bagi membolehkan mereka menikmati subsidi bersasar RON95 yang dijadual dilaksanakan kerajaan hujung bulan ini.

Katanya, pelaksanaan subsidi itu memerlukan pengesahan identiti menggunakan MyKad ketika proses mengisi minyak di stesen.

“Harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar ini. Satu perkara penting rakyat Malaysia kena buat ialah periksa MyKad anda dan pastikan cip berfungsi dan elok.

“Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan risau, boleh terus ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. Insya-Allah, siap hari yang sama. Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal supaya rakan-rakan dapat manfaatkan subsidi petrol khas untuk rakyat Malaysia ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, baru-baru ini.

Related posts

Leave a Comment