Muktamar Pas tolak RUU PSB

ALOR SETAR 16 Sept. – Muktamar Tahunan Pas ke-71 hari ini sebulat suara menolak Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang didakwa jelas mengancam hak rakyat dan masa depan generasi muda.

Usul menolak RUU itu dibentangkan oleh perwakilan Pas Titiwangsa, Mohd Suhaimi Abdul Aziz yang disokong oleh perwakilan Pas Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Mohd Suhaimi ketika membentangkan usul itu berkata, RUU itu tidak wajar dilihat dari sudut perkauman, sebaliknya dasar yang digubal secara tidak telus, tergesa-gesa sehingga mengancam rakyat berbilang kaum yang tinggal dalam bandar.

Katanya, sebarang undang-undang yang digubal secara terburu-buru tanpa penelitian menyeluruh serta proses libat urus yang telus adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap prinsip keadilan, demokrasi dan amanah pemerintahan.

Menurutnya, muktamar dengan tegas mendesak kerajaan agar membatalkan segera pelaksanaan PSB yang dakwanya bukan sahaja membebankan rakyat tetapi membuka ruang kepada penyelewengan dan penindasan yang lebih besar.

Tegasnya, bantahan tersebut bukan sahaja disuarakan perwakilan PAS Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan dalam perbahasan ucapan dasar sebelum ini, malah di Parlimen isu tersebut turut mencetuskan polemik besar.

Katanya, di Wilayah Persekutuan terdapat lebih 90 kawasan yang terkesan, melibatkan semua kaum iaitu Melayu, Cina, India.

“Soalnya ialah hak penduduk minoriti yang dinafikan serta kuasa penuh diberikan kepada KPKT tanpa persetujuan menyeluruh penduduk,” tegas beliau.

Muhammad Suhaimi turut mengaitkan isu Kampung Sungai Baru di Titiwangsa sebagai gambaran awal pelaksanaan URA, apabila penduduk yang mempertahankan hak mereka ditekan dan ditahan.

Beliau mendakwa, undang-undang ini boleh menyebabkan lebih ramai rakyat kehilangan kediaman, dipinggirkan dan dianiaya.

Sementara itu, perwakilan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin bangkit menyokong usul tersebut dengan mendakwa ia menimbulkan kebimbangan besar walaupun tujuan asal RUU itu adalah untuk memperbaharui kawasan usang disebabkan kuasa yang terlalu luas dan mekanisme kabur.

Beliau menyatakan terdapat 534 tapak dan bangunan di Semenanjung yang boleh dibangunkan semula, 139 daripadanya di Kuala Lumpur dengan nilai dianggarkan RM355.3 bilion.

“Soalnya, siapa yang mendapat manfaat sebenar? Penduduk asal atau pemaju?” katanya yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka.

Antara kebimbangan yang dikemukakan beliau ialah pelanggaran hak milik harta di bawah Perkara 13 Perlembagaan kerana hak minoriti boleh dipaksa walaupun tidak bersetuju serta kuasa berlebihan di tangan Menteri, tanpa semak imbang.

“Pampasan yang tidak jelas, dengan risiko unit baru lebih kecil atau caj perkhidmatan tinggi yang membebankan golongan B40 dan ambang persetujuan terlalu rendah, hanya 80 peratus, 75 peratus atau 51 peratus,” katanya.

Ancaman kepada komuniti bandar dan warisan budaya, sebagaimana yang berlaku di Singapura dan Pulau Pinang dan takrifan kabur terhadap istilah ‘usang’ atau ‘lapuk’ yang boleh dimanipulasi.

Beliau juga menegaskan timbul konflik bidang kuasa negeri dan Persekutuan, kerana tanah adalah urusan kerajaan negeri serta ketiadaan mekanisme rayuan atau semakan kehakiman yang jelas untuk pemilik.

Tegasnya pembangunan boleh dicapai melalui pindaan Akta Strata dan Akta Pengambilan Tanah tanpa perlu meluluskan RUU URA yang terlalu luas kuasanya.

Sementara itu, perwakilan Dewan Pemuda Pas Malaysia, Azmeer Syazwan Mohamad Suparmin, menyeru agar momentum penolakan URA diterjemahkan melalui tindakan.

Beliau mencadangkan agar diadakan himpunan besar-besaran di tengah Kuala Lumpur sebagai tanda bantahan rakyat terhadap akta tersebut.

“Jika bersetuju, sila bangun. Kita ulang, tolak, tolak, tolak URA! Pertahan tanah Melayu! Hancur kezaliman!” katanya yang mendapat sambutan daripada para perwakilan.

Pengerusi Tetap kemudiannya mengesahkan usul tersebut diterima dengan sokongan penuh muktamar berdasarkan perbahasan dan tanda bangun yang pada anggapannya muktamar bersetuju 110 peratus.

Nnn

Related posts

Leave a Comment