Muhyiddin bukan sekadar ahli politik

KUALA LUMPUR 7 Sept.- Ucapan Dasar  Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu malam tadi bukan retorik tetapi disertai pelbagai cadangan demi masa depan rakyat dan negara dengan ulasan perihal masaalah semasa di bawah Kerajaan Madani yang bercelaru dan cacar marbar.

Presiden Putra Ibrahim Ali berkata, berdasarkan ucapan itu, Muhyiddin mempunyai pemikiran yang tuntas sebagai seorang pemimpin yang progresif.

Katanya, ketika dalam dunia politik, ramai yang menjadikan kuasa sebagai “ghanimah”  tetapi Presiden Bersatu ity memilih jalan yang berlawanan arus yang menjadikannya bukan sekadar ahli politik, tetapi seorang negarawan.

“Ia bukan sekadar ucapan, ia adalah detik wahyu politik, denyut nadi bangsa, isyarat kepemimpinan yang jarang lahir dalam seratus tahun. Kata-kata beliau bukan sekadar keluar dari bibir, tetapi menitis dari hati yang tulus, dari jiwa yang istiqamah, dari roh yang sudah ditempa badai.

Dalam dunia politik, terlalu ramai yang menjadikan kuasa sebagai ghanimah,  sanggup menukar maruah dengan kerusi, menggadai prinsip demi jawatan, melacurkan perjuangan demi habuan dunia tetapi Muhyiddin memilih jalan yang berlawanan arus,” katanya dalam satu kenyataan.

Ibrahim yang turut hadir mengikuti ucapan dasar itu berkata, Muhyiddin diuji dengan angka, digoda dengan majoriti, diasak dengan janji manis tetapi ketika peluang terbentang luas untuk kembali berkuasa melalui tangan Anwar Ibrahim dan DAP, beliau menutup pintu itu dengan tegas.

“Beliau ibarat gunung purba, akarnya mencengkam bumi, puncaknya menembusi awan. Ribut mengganas, petir menyambar, tanah bergoncang, namun gunung tetap teguh. Gunung itu bukan sahaja mercu bangsa, bahkan menjadi tempat awan bernaung dan sungai bermula,” katanya.

Berikut kenyataan penuh Ibrahim yang mengulas ucapan dasar presiden

SAYA hadir ke Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke 8 di IDCC Shah Alam semalam 7 September. Jemputan saya terima sebagai Presiden  bersama Setiausaha Agung Putra dan Putra adalah salah satu dari 12 parti  pembangkang yang bergabung di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) yang juga Presiden Bersatu dan Pengurusi Perikatan Nasional (PN).

Sejak lebih separuh abad saya berlegar dalam gelanggang politik tanah air, dari zaman bapa kemerdekaan hingga ke era gelombang reformasi, saya telah mendengar ribuan ucapan pelbagai pemimpin. Ada yang bergema sebentar lalu mati, ada yang berapi-api namun hilang tanpa bekas, ada yang indah retoriknya tetapi kosong di hatinya.

Ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad sukar ditandingi sehingga sekarang , namun jarang sekali hati saya dan minda saya terusik apabila mendengar Ucapan Dasar Tan Sri Muhyiddin,  bukan retorik tapi pengucapan yang disertai cadangan-cadangan demi masa depan rakyat dan negara serta ulasan perihal masalah semasa negara di bawah Kerajaan Madani yang bercelaru dan caca marba. Jelas TSMY mempunyai *clarity of thought*, pemikiran yang tuntas sebagai seorang pemimpin yang progresif.

2.Di bawah gema ucapan dasar Tan Sri Muhyiddin, saya merasakan seolah-olah sejarah membuka lembaran baru. Ia bukan sekadar ucapan; ia adalah detik wahyu politik, denyut nadi bangsa, isyarat kepemimpinan yang jarang lahir dalam seratus tahun. Kata-kata beliau bukan sekadar keluar dari bibir, tetapi menitis dari hati yang tulus, dari jiwa yang istiqamah, dari roh yang sudah ditempa badai.

3.Dalam dunia politik, terlalu ramai yang menjadikan kuasa sebagai “GHANIMAH”. Ada yang sanggup menukar maruah dengan kerusi, menggadai prinsip demi jawatan, melacurkan perjuangan demi habuan dunia. Tetapi Muhyiddin Yassin memilih jalan yang berlawanan arus.

4.Beliau diuji dengan angka, digoda dengan majoriti, diasak dengan janji manis. Namun ketika peluang terbentang luas untuk kembali berkuasa melalui tangan Anwar Ibrahim dan DAP, beliau menutup pintu itu dengan tegas. Inilah bukti bahawa beliau bukan sekadar ahli politik, tetapi seorang negarawan.

5.Beliau ibarat gunung purba, akarnya mencengkam bumi, puncaknya menembusi awan. Ribut mengganas, petir menyambar, tanah bergoncang, namun gunung tetap teguh. Gunung itu bukan sahaja mercu bangsa, bahkan menjadi tempat awan bernaung dan sungai bermula.

6.Ucapan beliau bukan gema kosong, tetapi gema rakyat. Ketika beliau menyebut kos sara hidup, saya terdengar suara ibu yang mengira syiling di dapur untuk membeli sekampit beras. Ketika beliau menyebut harga barang, saya terbayang wajah petani yang menunggu hasil sawah dengan sabar. Ketika beliau menyebut beban cukai, saya merasakan tangan anak muda yang menggenggam slip gaji, lalu mengeluh kerana baki tidak pernah cukup.

7.Suara rakyat itu seakan menitis dari bibirnya. Dan beliau tidak bercakap kosong. Muhyiddin berucap dengan rekod yang telah terpahat dalam sejarah, rekod kepemimpinan ketika seluruh dunia rebah dilanda pandemik Covid-19. Pada suku kedua tahun 2020, ekonomi Malaysia menjunam -16.9%, kejatuhan paling parah sejak merdeka. Namun di bawah pentadbirannya, kapal negara yang hampir karam itu dilayarkan semula. Dalam tempoh setahun, ekonomi melonjak 16.2% (suku kedua 2021), terus bangkit 14.6% (suku ketiga 2022), dan menutup tahun 2022 dengan pertumbuhan 8.7% , melebihi jangkaan penganalisis dunia.

Imbangan dagangan negara turut mencatat rekod, daripada RM25.3 bilion (Julai 2020), meningkat ke RM31.8 bilion (September 2022). Jualan runcit yang pernah menguncup -9.2% semasa pandemik, melonjak ke 56.4% (April 2021) dan kekal tinggi 38.4% sehingga Julai 2022. Pelaburan asing pula menyaksikan lonjakan bersejarah, daripada RM6.1 bilion (suku keempat 2020), meningkat ke RM12 bilion (suku kedua 2021), melonjak RM27.8 bilion (suku pertama 2022). Malaysia merekodkan aliran masuk FDI RM48.1 bilion pada tahun 2021, tertinggi sejak 2016 dan meningkat lagi ke RM74.6 bilion pada tahun 2022.

Segala angka ini bukan sekadar statistik kering, tetapi jejak kaki seorang negarawan yang diuji dalam badai, lalu membuktikan dirinya sebagai nakhoda yang bukan sahaja mampu membaca bintang di langit, tetapi juga menundukkan gelombang di lautan. Muhyiddin berdiri di barisan paling hadapan ketika rakyat cemas, beliau memikul tanggungjawab tanpa gentar. Maka malam itu, ketika beliau menyebut tentang kos sara hidup, saya yakin seluruh rakyat teringat, inilah pemimpin yang pernah membawa kita keluar dari gelap wabak, inilah pemimpin yang terbukti mampu membawa kita keluar dari gelap kegagalan hari ini.

8.Agenda Bangsa, Negara, dan Dunia. Wawasan beliau bukan sempit pada kelompok, tetapi luas merentasi sempadan. Beliau mengangkat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai peta jalan untuk merapatkan jurang ekonomi, menjadikan Malaysia makmur bersama.

9.Sabah dan Sarawak tidak beliau lupakan. Hak 40% hasil negeri, sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, wajib dikembalikan. Ini bukan sekadar janji, tetapi hutang sejarah yang mesti dilunaskan.

10.Lebih jauh dari itu, beliau menyalakan api solidariti dengan Palestin. Ketika dunia Islam kehilangan nakhoda, Muhyiddin tampil sebagai laksamana Nusantara dengan memegang kompas iman, menatap jauh ke tanah suci, memberi isyarat bahawa Malaysia masih punya suara dan maruah.

11.Roh Perjuangan dan Spirit Islam. Ketika Tan Sri Muhyiddin membaca firman Allah dalam Surah As-Saf tentang saf pejuang yang tersusun kukuh, dewan itu seolah-olah berubah wajah. Ia bukan lagi sekadar perhimpunan politik. Ia menjadi saf jihad. Ia bukan lagi sekadar ucapan, tetapi khutbah perjuangan. Ia bukan lagi sekadar doa, tetapi ikrar seorang hamba kepada Rabbul Jalil.

12.Di medan, beliau panglima. Di hadapan Tuhan, beliau hamba. Inilah kepemimpinan yang menakluk hati manusia kerana ia terlebih dahulu tunduk kepada Allah.

13 Kesatuan dan Disiplin. Ucapan beliau penuh dengan peringatan yang berlapis. “Rumah sudah siap, pahat jangan berbunyi.” Pada lidah biasa, ia sekadar peribahasa. Tetapi pada lidah seorang negarawan, saya faham, ia adalah wasiat dan amaran, bahawa kekuatan parti hanya hidup dengan kesatuan saf, disiplin ahli, dan perpaduan hati.

14.Besi hanya teguh apabila berpadu dengan api dan tukul. Parti hanya teguh apabila berpadu dengan iman dan taat. Tanpa itu, sekuat mana pun binaan, ia hanya menunggu masa untuk retak.

15.Kesimpulannya yang dapat simpulkan, sebagai seorang yang telah melihat naik turunnya ramai pemimpin sepanjang separuh abad, saya jarang kagum. Namun malam itu saya akui dengan penuh rendah hati, saya akui ucapan Muhyiddin melangkaui batas seorang presiden parti. Ia adalah dokumen perjuangan, cetak biru penyelamatan negara, dan amanah besar yang hanya mampu dipikul oleh seorang negarawan.

16.Jika ditanya siapakah sosok paling layak menggantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, jawapan saya jelas, seterang bintang di langit malam itu, Muhyiddin Yassin!

17.Dalam samudera kepemimpinan, ada nakhoda yang karam, ada nakhoda yang hanyut, ada nakhoda yang terdampar. Tetapi Muhyiddin, dialah nakhoda yang bukan sahaja membaca bintang di langit, bahkan menundukkan badai di lautan.

18 Kalau aur bertemu tebing, kalau akar berpaut pada bumi, pohon hidup seribu tahun. Begitulah Muhyiddin, ia berakar pada iman, bertiang pada prinsip, bernaung pada takdir Ilahi. Dialah suluh yang tidak padam, meski angin kencang cuba memadamkan.

Buat masa ini terbukti TSMY adalah sosok tokoh pemimpin yang cukup berpengalaman untuk memimpin negara keluar dari kecelaruan yang berlaku akibat dari dasar rojak madani yang bercampur aduk menyebabkan hala tuju negara makin menuju terowong yang semakin gelap.

Pemimpin yang berilmu, benar-benar jujur, berpengalaman dan bermoral menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment