Armada, Srikandi Muda namakan Muhyiddin calon PM

SHAH ALAM 7 Sept.- Di sebalik kekecohan ketika Ucapan Dasar Presiden yang kedengaran laungan supaya Muhyiddin Yasin berundur, dua sayap Bersatu sepakat mahukan bekas Presidennya itu dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU).

Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dinamakan sebagai calon Perdana Menteri oleh Armada dan Srikandi Muda.

Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham, ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) itu berkata Muhyiddin adalah sosok paling layak menerajui parti itu dalam usaha menawan semula Putrajaya pada PRU16.

“Dalam PRU akan datang, kita mahu ‘abah’ (Muhyiddin) sebagai calon Perdana Menteri kita, akan bawa kita untuk menang ke Putrajaya nanti,” katanya.

Hilman berkata, insiden kekecohan yang tercetus malam tadi amat mengecewakan ketika seluruh pimpinan dan ahli parti perlu memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi PRU16.

“Sebab itu hormatlah (institusi presiden). Apa yang berlaku semalam kita tak boleh nafi dan tutup. Tapi kita ada tanggungjawab sebab malam tadi kita sudah mengecewakan ‘abah’ kita.

“Sebab nama baik keluarga besar kita tercalar. Jadi kita ada tanggungjawab, tolong pertahan nama baik Bersatu, kembalikan nama baik Bersatu,” katanya.

Terdahulu Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Ezzati Azmi, ketika berucap pada sesi penggulungan menasihatkan pemimpin dan ahli parti itu mengelak sebarang perbalahan yang hanya merugikan parti.

Katanya, ini kerana tanggungjawab sebenar pemimpin dan ahli parti adalah menarik keyakinan rakyat untuk menyokong parti.

“Jadi Srikandi Muda Bersatu mahukan Muhyiddin (dinamakan) sebagai calon Perdana Menteri Bersatu sehingga PRU16 kita tawan (menang),” katanya di penghujung ucapan penggulungannya.

Terdahulu malam tadi ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan dasarnya, berlaku kekecohan di bahagian tengah dewan dipercayai membabitkan beberapa perwakilan parti yang tidak berpuas hati, ketika Presiden Bersatu itu menyentuh mengenai tindakan pihak dalam parti yang mengutip tandatangan untuk menjatuhkan beliau.

Laungan “turun Tan Sri” berselang-seli dengan “hidup Tan Sri” menggamatkan PAT Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini.

Beberapa ahli parti yang dipercayai kurang senang dengan perkara itu tiba-tiba bangkit menggesa Muhyiddin yang Ahli Parlimen Pagoh berundur sambil melaungkan kata-kata “turun Tan Sri”.

Situasi bertambah kecoh apabila beberapa individu lain bangkit membalas dengan laungan “hidup Tan Sri” yang kemudiannya pasukan keselamatan parti mula campur tangan untuk menenangkan suasana sebelum Muhyiddin meneruskan ucapan.

Sementara itu, Muhyiddin pada sidang media menegaskan tidak maklum mengenai kekecohan terbabit, selain menyifatkannya sebagai keadaan biasa dalam mana-mana parti politik.

Beliau berkata, sebarang ketetapan berhubung tindakan disiplin ke atas pihak yang mencetuskan provokasi hanya akan dimuktamadkan selepas laporan penuh berhubung kejadian itu diterima daripada pihak keselamatan.

“Saya tak tahu, saya tak pasti. Saya ada di atas pentas, sedang fokus pada ucapan saya. Kalau maklum, saya akan ulas apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya tak terganggu dengan apa-apa yang berlaku. Bagi saya mungkin perkara ini biasa. Pihak keselamatan akan dapatkan laporan berkenaan kejadian yang berlaku,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment