Jangan komen keterlaluan inkues Zara Qairina

PKOTA BHARU 6 Sept.  – Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, meminta masyarakat supaya tidak membuat komen keterlaluan berhubung prosiding inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Katanya, biarlah proses inkues berjalan dahulu sehingga selesai dan masyarakat jangan terburu-buru meninggalkan komen berhubung prosiding yang masih berjalan.

Beliau bagaimanapun berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti dan memantau media sosial yang mempertikai prosiding inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

“Kita akan lihat dalam kandungan TikTok atau media sosial lain berhubung perkara berkenaan sebelum tindakan susulan diambil.

Buat masa ini, pakar patologi sedang memberi keterangan, jadi orang luar tidak perlu pertikai sebaliknya tunggu prosiding selesai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara 2025 di sini, hari ini.

Prosiding inkues Zara Qairina bagi menentukan punca kematiannya bermula di Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pada 3 September lalu.

Inkues selama 19 hari yang dijadualkan berlangsung pada 3-4 September, 8-12 September, 17-19 September serta 22 hingga 30 September, dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku Koroner.

Ditanya sama ada tempoh prosiding inkues Zara Qairina akan dipercepat, Mohd Dusuki berkata, ia ditetapkan untuk tempoh tertentu dan akan berlangsung mengikut perancangan.

“Alhamdulillah, setakat ini prosiding inkues berjalan dengan baik dan kita tidak boleh melakukan prosiding inkues ini terlalu cepat, biarlah berlangsung sebagaimana proses.

“Kita mahu prosiding ini selesai dengan baik supaya tiada polemik berterusan ditimbulkan sehingga mendapat persepsi negatif,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata AGC setakat ini tidak bercadang mendakwa individu lain selain, lima remaja perempuan yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, bulan lalu.

Kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.

“Setakat ini tiada cadangan untuk menuduh mana-mana suspek sehingga prosiding inkues selesai. Selepas prosiding berkenaan selesai, kita akan melihat semula dan tindakan akan dilakukan berdasarkan hasil inkues,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment