5 kertas siasatan bendera terbalik diserah kepada AGC

KUALA LUMPUR 22 Ogos  – Polis menyerahkan lima kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya berhubung kes pemasangan dan pengibaran Jakur Gemilang secara terbalik menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata setakat ini, enam kes dilaporkan membabitkan masing-masing dua kes di Johor dan Pulau Pinang serta masing-masing satu di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Setakat ini enam kes sudah diambil tindakan susulan dan daripada
jumlah itu, lima kes sudah dibuka kertas siasatan selain proses merakam keterangan juga sudah dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Justeru Mohd Khalid menggesa semua pihak untuk tidak cuba menimbulkan suasana tidak harmoni susulan daripada kejadian yang berlaku.

Katanya, semua pihak perlu sentiasa menghormati undang-undang serta menjaga keharmonian dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu-gugat keharmonian serta perpaduan antara kaum.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tegasnya akan terus melaksanakan langkah-langkah penguatkuasan terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batas undang-undang.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerahan empat unit kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) bagi memperkukuh keupayaan Skuadron Perisai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Kenderaan berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited Sdn Bhd, Ir Mohd Nasser Israil.

Beliau berkata, perolehan bernilai RM10.72 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (Rolling Plan 1) itu dilaksanakan dengan tempoh kontrak 24 bulan bermula 30 Mac 2024 hingga 29 Mac 2026.

APC jenama International Armoured Group (IAG), model IAG Guardian CEN Level B6, berupaya membawa lapan penumpang, dilengkapi sistem komunikasi dan ciri keselamatan taktikal termasuk Radio VHF RMPNet, Portable Tactical Communication, Heavy Duty Winch, tayar runflat serta sistem gantungan heavy duty.

Daripada empat unit itu, dua APC akan ditempatkan di Briged Tengah, satu di Briged Utara dan satu lagi di Briged Tenggara.
(Foto PDRM)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment