Tidak izin bedah siasat ketika panik

KOTA KINABALU 14 Ogos – “Kami kekejutan, panik dan tidak mampu membuat keputusan waras ketika kejadian,” demikian penjelasan Noraidah Lamat berhubung tindakannya ‘menolak’ bedah siasat ke atas jenazah  anaknya, Zara Qairina Mahathir.

Wanita berusia 45 tahun itu berkata tiada penerangan yang jelas mengenai prosedur bedah siasat apatah lagi tiada pengalaman berdepan kes seumpama ini.

“Kami panik, tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat. Kalau kami tahu (kepentingan membuat bedah siasat), kami tidak sesekali turun tandatangan enggan post mortem,” katanya dalam satu komen di Facebook.

Sebelum ini Jabatan Peguam Negara mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan pada Ahad lalu, dan kemudian dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang Isnin lalu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar mengesahkan Noraidah sendiri menandatangani dokumen yang dikeluarkan pihak hospital untuk tidak membenarkan bedah siasat dijalankan terhadap jenazah anaknya.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.

Nnm

Related posts

Leave a Comment